Palmer meriahkan pesta gol Chelsea di London

Palmer antara mesin gol Chelsea ketika membelasah Everton di London. Foto Agensi
Palmer antara mesin gol Chelsea ketika membelasah Everton di London. Foto Agensi
A
A
A

TONGGAK tengah Chelsea, Cole Palmer menjaringkan empat gol, termasuk hatrik dalam 30 minit pertama, ketika The Blues membelasah Everton 6-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Stamford Bridge awal pagi Selasa bagi menyalakan pemburuan slot Eropah musim depan.

Bekas bintang Manchester City berusia 21 tahun meletakkan tanda aras kelayakan sebagai tonggak England bermula sentuhan kaki kiri klasik (m-13, tandukan (m-18), kaki kanan treble (m-29) dan kemudian penalti (m-64) separuh masa kedua.

Dua gol lagi angkatan Mauricio Pochettino dijelmakan Nicolas Jackson (m-44) dan pemain gantian Alfie Gilchrist (m-90) bagi mengekalkan Chelsea di kedudukan kesembilan dengan 47 mata kurang satu perlawanan berbanding semua pasukan lawan mereka.

Kekalahan itu juga menyaksikan angkatan Sean Dyche, berada di kedudukan Everton ke-16 dengan 27 mata, dua anak tangga dan dua mata di atas zon penyingkiran.

Gol Palmer membariskannya bersama mesin gol Manchester City,Erling Haaland di puncak senarai penjaring Liga Perdana Inggeris dengan 20 jaringan dan jumlahnya dalam semua pertandingan 23 jaringan ketika dia menjadi pemain Chelsea pertama yang mencapai ledakan 20 sejak Eden Hazard pada 2018/19.

Palmer juga pemain Chelsea pertama yang menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan liga sejak kali terakhir dilakukan Frank Lampard pada Mac 2010.

Pada November, Palmer berpindah dari kelab zaman kanak-kanaknya Manchester City ke London barat bersama Chelsea untuk mencari minit permainan kompetitif.

Dia sebelum itu membuat 25 penampilan untuk Manchester City musim lalu, yang mana dengan hanya tujuh daripadanya dalam kesebelasan utama.

Artikel Berkaitan:

"Anda menjangkakan dia beraksi baik sebaliknya dia tampil lebih hebat dengan sentuhan menakjubkan untuk pasukan. Saya gembira dia menjaringkan empat gol," kata Pochettino.

Senarai Penjaring Gol EPL 2023/24

1. Cole Palmer (Chelsea, 20 gol)

2. Erling Haaland (Manchester City, 20 gol)

3. Ollie Watkins (Aston Villa, 19 gol)

4. Alexander Isak (Newcastle United, 17 gol)

5. Dominic Solanke (Bournemouth, 17 gol)

6. Mohamed Salah (Liverpool, 17 gol)

* Sehingga 16 April

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28