Iran lancar perang, buka mata Israel

Israel mendakwa memintas dron dan peluru berpandu Iran memasuki wilayahnya.
Israel mendakwa memintas dron dan peluru berpandu Iran memasuki wilayahnya.
A
A
A

TINDAKAN Iran dalam melancarkan serangan balas kepada Israel ekoran tindakan rejim Zionis menyerang Konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 1 April ternyata membuka mata banyak pihak bahawa ada negara yang tidak akan berdiam diri terhadap kekejaman berkenaan.

Melihat kepada kronologi serangan Iran terhadap Israel, semuanya bermula apabila Zionis melancarkan serangan udara terhadap konsulat Iran yang meruntuhkan bangunan itu serta menyebabkan tujuh anggota Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dilaporkan maut termasuk dua jeneral.

Serangan yang dilakukan Israel itu telah menggugat keselamatan Iran, menurut Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Salawati Mat Basir.

Ujar beliau, tindakan Iran adalah suatu perkara yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, ia dijelaskan dalam Artikel 51 Piagam Penubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu mempertahankan diri susulan serangan yang dilakukan oleh rejim Zionis.

Menariknya perbincangan dalam Program Interviu itu, Salawati berkata, Iran tidak akan menghentikan peperangan walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengarahkannya untuk berbuat demikian.

Ini kerana, keingkaran Israel yang melanggar arahan UNSC untuk menghentikan serangan ke atas Palestin yang telah berlanjutan selama enam bulan dan ia seolah-olah menunjukkan bahawa rejim Zionis itu kebal terhadap arahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pun begitu, jika Iran bertindak terus melancarkan serangan terhadap Israel walaupun PBB mengarahkan untuk berhenti daripada membedil negara berkenaan ia secara tidak langsung menunjukkan reaksi dunia terhadap peperangan itu.

Artikel Berkaitan:

Isu berkenaan mungkin akan menimbulkan persoalan sejauh mana undang-undang antarabangsa terpakai kepada negara yang tidak memiliki pengaruh besar seperti Israel dan pembelaan terhadap rejim Zionis ekoran diserang oleh Iran.

Dalam pada itu, penulis berpandangan bahawa usul yang dikemukakan oleh Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek tentang penstrukturan semula PBB dengan memansuhkan kuasa veto dan digantikan dengan sistem demokrasi perlu dipertimbangkan kerana ia dilihat lebih adil.

Penstrukturan semula itu akan memastikan semua negara menerima keadilan sewajarnya tanpa ‘dihantui’ oleh mana-mana negara yang cuba untuk menggagalkan mana-mana resolusi berbangkit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28