Pesara guru terus tabur bakti

Suhardiman (kiri) membantu membetulkan bacaan peserta di rumah tersebut.
Suhardiman (kiri) membantu membetulkan bacaan peserta di rumah tersebut.
A
A
A

TEMERLOH - Demi untuk melihat lebih ramai masyarakat celik al-Quran, seorang pesara guru di sini sanggup berkorban masa, tenaga serta harta benda untuk memastikan misi murni itu tercapai.

Pengasas Rumah Ngaji Barokah di sini, Suhardiman Mohd Lazim, 63, memulakan perjuangan menubuhkan rumah tersebut sejak 2017 hingga kini.

Menurutnya, pada peringkat awal, beliau membuka kelas di rumahnya sendiri di jalan Kampung Lubok Layang di sini sebelum menyewa bangunan di Bukit Desa Semantan pada 2018.

“Memang tak sangka, kelas mengaji dapat permintaan dengan peserta terdiri kanak-kanak dan juga dewasa.

“Ketika itu, ada juga warga emas yang tidak pandai mengaji datang untuk belajar membuatkan saya tekad perlu berbuat sesuatu,” katanya sambil memberitahu peserta paling tua setakat ini berusia 70 tahun.

Ujar beliau, isterinya, Zamiah Mohd Ali, 63, serta ahli keluarga banyak membantu kelancaran di rumah ngaji tersebut yang memiliki lebih 200 peserta berdaftar.

“Walaupun hanya memiliki satu buah pinggang, ia tidak menghalang saya terus menabur khidmat untuk memastikan semua peserta mendapat ilmu al-Quran,” jelasnya yang mendermakan buah pinggang untuk anaknya pada 2017.

Ujar Suhardiman lagi, peserta didedahkan dengan Iqra untuk peringkat awal sebelum mengaji al-Quran, tajwid dan serta tadabur seterusnya boleh menjadi tenaga pengajar.

Artikel Berkaitan:

Suhardiman
Suhardiman

“Setakat ini, ada dua peserta bergelar tenaga pengajar dan mereka menabur bakti di rumah ngaji ini.

“Saya juga bersyukur kerana sokongan padu yang diterima sanggup membantu terutamanya dari segi belanja pengurusan rumah ini selain peserta sendiri sanggup memberikan sumbangan mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas aplikasi ThinkQuran yang diperkenalkan, beliau menyifatkan ia satu usaha baik dan wajar disokong kerana dapat membantu lebih ramai individu di negara ini.

“Dengan mudah diakses bila-bila masa, kemudahan tersebut membolehkan orang ramai belajar memahami al-Quran mengikut waktu luang masing- masing.

“Aplikasi itu khusus untuk memahami kalimah al-Quran dan di dalamnya juga ada latihan. Ini adalah satu aplikasi yang bagus dan baik.

“Insya-ALLAH saya akan perkenalkannya kepada para pelajar sebagai nilai tambah dan aplikasi ini perlu disebarkan seluas mungkin,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28