Dua maut, tiga parah, pacuan empat roda terbabas sendiri

Keadaan pacuan empat roda terbalik di kawasan parit Jalan Kampung Gana, Kota Marudu.
Keadaan pacuan empat roda terbalik di kawasan parit Jalan Kampung Gana, Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Dua maut manakala tiga lagi parah selepas pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Kampung Gana di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, mangsa, Doyut Nanu, 58, dan Somineh Engkagang, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tiga lagi yang cedera dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Zairolnizal Ishak berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut melibatkan kenderaan jenis Toyota Hilux SR yang terbabas sendiri.

Menurutnya, pacuan empat roda tersebut dipandu oleh seorang lelaki berusia 65 tahun dan membawa empat penumpang wanita berusia antara 17 hingga 85 tahun dari arah Pekan Kota Marudu ke Kampung Gana.

Dua maut manakala tiga lagi parah selepas pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas di Jalan Kampung Gana, Kota Marudu pada Isnin.
Dua maut manakala tiga lagi parah selepas pacuan empat roda yang mereka naiki terbabas di Jalan Kampung Gana, Kota Marudu pada Isnin.

"Ketika kejadian, kenderaan tersebut telah hilang kawalan semasa melalui satu selekoh yang menuruni bukit sehingga melanggar dinding bukit sebelah kanan sebelum terbalik di kawasan parit.

"Kejadian itu menyebabkan dua penumpang maut manakala pemandu serta dua penumpang lain parah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Zairolnizal berkata lagi, hasil siasatan lanjut mendapati tiada kenderaan lain yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu menyebabkan kemalangan berlaku.

"Bagaimanapun siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!