Lelaki OKU maut, remaja lelaki cedera parah motosikal bertembung

Lelaki OKU maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di kilometer 40 Jalan Gua Musang-Jeli pada Isnin. - Foto dijana oleh AI 123RF
Lelaki OKU maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di kilometer 40 Jalan Gua Musang-Jeli pada Isnin. - Foto dijana oleh AI 123RF
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di kilometer 40 Jalan Gua Musang-Jeli, semalam.

Che Mohamad Zin Che Hassan, 33, dari Kampung Dalam Lah, Bertam, meninggal dunia di Hospital Gua Musang akibat kecederaan parah di bahagian badan, tangan dan patah kaki.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku semasa OKU dengan masalah pembelajaran itu menunggang motosikal melawan arus di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan Meranto di sini pada 9.20 malam.

Beliau berkata, sebaik keluar dari sebuah kedai, motosikal yang ditunggang lelaki itu terus membelok ke kanan jalan menggunakan laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal ditunggang Muhammad Yusry Abdullah, yang berumur 19 tahun.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, mayat Che Mohamad Zin dibawa ke Unit Forensik hospital untuk proses bedah siasat manakala Muhammad Yusry mengalami kecederaan parah di kepala serta beberapa bahagian anggota badan lain sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau pegawai penyiasat di talian 0133010408 bagi membantu siasatan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: