Berkas suspek tembakan di KLIA: Saifuddin ucap tahniah kepada PDRM

Saifuddin Nasution merakam ucapan tahniah kepada PDRM di atas kejayaan menahan suspek kes tembakan di KLIA, Sepang.
Saifuddin Nasution merakam ucapan tahniah kepada PDRM di atas kejayaan menahan suspek kes tembakan di KLIA, Sepang.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merakam ucapan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan menahan suspek yang terlibat dengan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Perkara tersebut dizahirkan beliau menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

"Tahniah pasukan PDRM atas kecekapan memberkas segera suspek tembakan KLIA tempoh hari," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek Hafizul Harawi, 38, berjaya ditangkap di Kota Bharu, Kelantan pada jam 3 petang.

Pada Ahad, suspek melepaskan dua das tembakan dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Bagaimanapun, satu tembakan jarak dekat itu telah tersasar, manakala satu lagi das mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan dilaporkan parah.

Susulan itu, suspek terus melarikan diri menaiki kereta jenis Honda City.

Siasatan polis mendapati kejadian bermotifkan perihal peribadi membabitkan suspek dan isterinya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28