KDN beri jaminan keselamatan di semua pintu masuk negara

Shamsul Anuar ketika sidang akhbar pada Isnin.
Shamsul Anuar ketika sidang akhbar pada Isnin.
A
A
A

GERIK - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan tahap keselamatan terkawal di semua pintu masuk negara susulan kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi Ahad.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, anggota agensi keselamatan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga supaya dapat mempertingkatkan lagi kawalan termasuk penguatkuasaan.

"Rakyat tidak perlu bimbang dari segi keselamatan kerana sama ada di KLIA atau mana-mana pintu sempadan negara, tahap keselamatan sentiasa ditingkatkan.

"Tidak hanya polis tetapi semua agensi keselamatan kita memberi perhatian serius akan isu ini. Jadi rakyat tidak perlu risau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dekat sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim.

Shamsul Anuar berkata, insiden sedemikian bukan pertama kali berlaku dan semua pihak perlu memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan sehingga tertangkapnya suspek.

Shamsul Anuar beramah mesra dengan pesara polis yang hadir sempena sempena lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu pada Isnin.
Shamsul Anuar beramah mesra dengan pesara polis yang hadir sempena sempena lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Polis sedang menangani isu ini dengan bersungguh-sungguh dan langkah-langkah seperti diumumkan Ketua Polis Negara telah diambil terutama meningkatkan tahap kawalan di pintu sempadan supaya suspek tidak bolos ke negara jiran.

"Saya harap kita beri kepercayaan kepada pasukan polis menyelesaikannya," katanya.

Pada Ahad, seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena pengawal peribadi dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi.

Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai melarikan diri ke utara tanah air.

Polis bagaimanapun menyifatkan kejadian itu adalah bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata, pembinaan bangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu di lokasi baharu akan dimuktamadkan pada Mei depan.

Shamsul Anuar (duduk, tengah) sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dekat pada Isnin.
Shamsul Anuar (duduk, tengah) sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dekat pada Isnin.

Jelas beliau, secara dasarnya kementerian bersama kerajaan Perak telah pun mencapai persepakatan berkaitan perkara itu.

"Ada beberapa lokasi yang dicadangkan dan penentuannya sedang dibuat KDN bersama kerajaan Perak melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

"Perkara itu akan dimuktamadkan pada Mei ini disusuli dengan isu teknikal lain termasuk bajet dan sebagainya," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, Shamsul Anuar memberitahu, pembinaan itu dicadangkan susulan kedudukan ICQS Bukit Berapit yang agak jauh iaitu kira-kira 700 meter dari pintu sempadan antarabangsa hingga boleh menyebabkan isu pencerobohan dan penyeludupan sama ada ke luar atau ke dalam negara kerap berlaku.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!