'Selamatkan orang awam prioriti utama' - Ketua Polis Selangor

Hussein bersama Azman (kiri) yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah KLIA baharu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Hussein bersama Azman (kiri) yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah KLIA baharu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SEPANG - Tindakan utama dengan menyelamatkan orang awam terlebih dahulu adalah kaedah terbaik berbanding bertindak segera terhadap suspek kes tembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lokasi itu merupakan kawasan awam termasuk terdapat kanak-kanak di lokasi kejadian.

"Melihatkan itu kawasan awam, lebih baik kita keluarkan suspek daripada kawasan terbabit dan selamatkan orang awam terlebih dahulu.

"Itu kaedah terbaik daripada kita 'engage' dengan suspek yang bersenjata kerana prioriti kita adalah lebih kepada orang awam. Jika kita 'engage' dengan dia (suspek) keadaan mungkin lebih buruk," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di sini pada Isnin.

Sebelum itu, beliau hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Asisten Komisioner Azman Shari'at yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah KLIA baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner Imran Abd Rahman yang bertukar ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Mengulas dakwaan mengapa pihak polis tidak menangkap suspek susulan kes ugutan jenayah terhadap isterinya beberapa bulan lalu, Hussein menjelaskan, bagi kes Seksyen 506 Kanun Keseksaan awal tahun itu, suspek telah ditangkap.

Katanya, suspek kemudian direman tiga hari dan siasatan perlu dilengkapkan sebelum sebarang tindakan untuk merujuk kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.

"Kes itu masih dalam siasatan polis. Pada waktu itu, kita tidak lihat ancaman begitu besar, setiap kes rumah tangga ada peringkatnya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kalau kita ada keterangan cukup baru dapatkan perintah interim dan sebagainya kerana ia ada prosedurnya," ujarnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, Ahad, suspek berusia 38 tahun telah melarikan diri selepas melepaskan dua das tembakan dengan menyasarkan terhadap isterinya yang sedang menunggu ketibaan jemaah umrah.

Bagaimanapun, tembakan dari jarak dekat itu telah mengenai pengawal peribadi wanita itu dan dilaporkan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Cyberjaya.