Reda beraya dalam banjir

Fauziah dan suaminya mencuci lantai dapur yang diselaputi lumpur.
Fauziah dan suaminya mencuci lantai dapur yang diselaputi lumpur.
A
A
A

ALOR GAJAH - Dalam kemeriahan Aidilfitri, sebuah keluarga di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal di sini, reda menyambut hari raya kelima di pusat pemindahan sementara (PPS) Bakai Raya Bukit Balai.

Keluarga terbabit antara 221 mangsa banjir yang ditempatkan di tiga buah PPS ekoran hujan lebat lebih dua jam melanda daerah ini pada petang Ahad.

Suri rumah, Anis Syazwani Rashid, 26, berkata, ketika kejadian dia bersama suami dan dua orang anaknya termasuk bayi berusia dua bulan pulang beraya di rumah ibunya di Tangga Batu sebelum dimaklumkan oleh bapa saudara mengenai hujan lebat.

Menurutnya, setiba di rumah mentua, air telah naik setinggi 0.6 meter dan kebanyakan barang di dalam rumah tidak dapat diselamatkan.

"Masa kejadian saya tiada di rumah manakala mentua pulang ke kampung di Bukit Meta, Telok Mas, jadi banyak barang yang kami tak dapat pindahkan ke tempat tinggi.

"Habis barang-barang termasuk dokumen penting tidak dapat diselamatkan namun kami reda dan ini merupakan banjir yang pertama berlaku pada tahun ini, dan pada hari raya," katanya.

Tambahnya, berharap kedai gunting rambut suaminya yang terjejas teruk termasuk mengalami kerugian peralatan elektrik rosak, mendapat pertimbangan pihak berkenaan untuk menyalurkan bantuan bagi meringankan beban.

"Saya tidak bekerja dan tinggal di rumah mertua, malah hanya bergantung dengan pendapatan sebagai tukang gunting rambut sejak tiga tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bila lihat kedai suami yang dinaiki banjir sedihlah juga, dengan keadaan saya yang m baharu habis pantang selepas bersalin perlu membersihkan rumah dan kedai suami yang dinaiki banjir lumpur," katanya.

Anis Syazwani (kiri) membantu suaminya membersihkan kedai gunting rambut yang dinaiki banjir kilat.
Anis Syazwani (kiri) membantu suaminya membersihkan kedai gunting rambut yang dinaiki banjir kilat.

Suri rumah, Fauziah Samat, 46, yang turut senasib dengan keluarga itu berharap ada hikmah di sebalik ujian yang menimpa ketika musim perayaan ini.

Menurutnya, pada mulanya merancang untuk mengadakan jamuan makan bagi meraikan saudara-mara yang datang beraya, namun terpaksa dibatalkan selepas rumah mereka turut dilanda banjir kilat.

"Walaupun air naik tidaklah tinggi namun penat untuk kami mencuci rumah yang diseliputi lumpur.

"Ada juga barang-barang sekolah anak yang tidak dapat diselamatkan dan disebabkan rumah dilanda banjir lumpur anak-anak tidak dapat bersekolah dan turut bersama-sama membersihkan rumah," katanya lagi.

Sementara itu, Pembantu Kebajikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Muhammad Zulaqmar Zainudin berkata, ADUN kawasan telah turun padang ke setiap PPS termasuk ke rumah mangsa banjir yang terjejas namun tidak berpindah ke PPS.

"Kita mengambil maklum balas punca banjir berlaku selain hujan luar biasa yang melanda Durian Tinggal," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28