Peniaga medan selera Taman Impianku terpaksa tadah, bawa air dari rumah

Lee Leow menyimpan air di dalam baldi sebagai persediaan.
Lee Leow menyimpan air di dalam baldi sebagai persediaan.
A
A
A

KUANTAN - Peniaga di medan selera Taman Impianku mengakui terpaksa menadah dan memunggah air dari rumah bagi membolehkan aktiviti perniagaan dijalankan seperti biasa.

Itu antara luahan 32 peniaga di medan selera tersebut, apabila lebih dua tahun masalah membabitkan air gagal diselesaikan pihak berkaitan.

Sebahagian peniaga menunjukkan tangki air yang gagal membekalkan air mencukupi.
Sebahagian peniaga menunjukkan tangki air yang gagal membekalkan air mencukupi.

Dakwa mereka, situasi berkenaan menimbulkan rasa buntu dan gusar dalam kalangan peniaga kerana punca pendapatan mereka semakin hari semakin terjejas akibat gangguan bekalan air.

Peniaga, S Vegeyin, 66, berkata, mereka semua sudah lali dengan masalah gangguan bekalan air yang saban hari berlaku terutama pada waktu puncak.

Vegeyin
Vegeyin

Dakwanya, gangguan tersebut dikatakan berpunca daripada tangki air yang dibina berhampiran medan selara itu menggunakan sistem meter tunggal.

"Bila kita guna meter tunggal, tekanan air menjadi perlahan. Jadi, air yang masuk ke dalam tangki tidak mencukupi untuk menampung kegunaan peniaga di medan selera ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami peniaga perlukan banyak air bagi pelbagai aktiviti, tapi disebabkan tangki yang menggunakan sistem meter tunggal ini, ia mendatangkan masalah kepada kami," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Dia yang sudah 17 tahun berniaga di kawasan itu berkata, mereka tidak pernah mengalami masalah itu sebelum ini, namun sejak dua tahun ini bekalan air kerap terganggu.

Justeru, ujarnya, penggunaan sistem meter tunggal tidak sesuai digunakan di medan selera kerana ia banyak mempengaruhi penggunaan air harian.

"Kalau kita tengok medan selera di tempat lain, rata-ratanya menggunakan sistem meter air secara terus. Jadi, ia tidak mendatangkan masalah kepada peniaga.

"Tapi, kita di sini terpaksa hadapi masalah ini dan seolah-olah tiada tindakan daripada pihak berkaitan,” luahnya dengan nada kecewa.

Hanaliza Awang Ali, 51, pula memberitahu disebabkan setiap hari berdepan dengan masalah air, mereka terpaksa mengambil inisiatif dengan memunggah air dari rumah untuk berniaga.

Dia yang menjalankan perniagaan makanan panas berkata, inisiatif itu diambil bagi memastikan aktiviti penjualan makanan dapat dilaksanakan, walaupun dalam keadaan serba kepayahan.

Hanaliza menunjukkan timbunan pinggan mangkuk dan periuk belanga yang tidak dapat dicuci ekoran ketiadaan air di premisnya di medan selera Taman Impianku pada Isnin.
Hanaliza menunjukkan timbunan pinggan mangkuk dan periuk belanga yang tidak dapat dicuci ekoran ketiadaan air di premisnya di medan selera Taman Impianku pada Isnin.

"Tekanan air boleh dikatakan perlahan untuk masuk ke dalam tangki, ada masa ia (air) hanya cukup untuk digunakan oleh peniaga pada sebelah pagi. Peniaga sebelah petang pula ada sampai satu tahap terpaksa tutup kedai kerana ketiadaan air.

“Mahu tidak mahu, kami terpaksa ambil air dari rumah atau membiarkan seketika kedai kami sementara menunggu air ada untuk mencuci pinggang mangkuk dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Menurutnya, ketiadaan air yang mencukupi juga boleh menimbulkan masalah dari segi kebersihan di medan selera tersebut.

Luahnya, ia boleh mendatangkan imej buruk kepada pelanggan yang mengunjungi lokasi perniagaan itu.

“Jika pelanggan tahu kedai tiada air, sudah pasti mereka rasa kurang yakin untuk datang ke sini, sedangkan kami sebagai peniaga sudah memberikan yang terbaik untuk menjaga kebersihan dan keselesaan pelanggan," katanya.

Bagi peniaga, Ong Lee Leow, dia setiap hari terpaksa menadah air untuk kegunaan gerai makannya.

Lee Leow
Lee Leow

"Saya guna berapa tong dan baldi untuk simpan air dan ia digunakan untuk membasuh alatan jualan," katanya.

Wanita berusia 45 tahun itu menjelaskan, sebelum ini mereka pernah diberikan amaran tentang kebersihan air dan kebersihan tangki air yang dikatakan tidak sesuai digunakan di medan selera tersebut.

“Kami tidak tahu menahu tentang masalah tangki itu. Mereka kata jika tidak tukar tangki, mereka terpaksa tutup medan selera. Jika itu berlaku, kami terpaksa menanggung kerugian.

“Setiap bulan kami tidak pernah culas membayar sewa dan jika kami tidak berniaga, bagaimana kami hendak mencari makan?” katanya.

Sementara itu, pengerusi medan selera berkenaan, Norazmira Ibrahim berkata, pihaknya telah beberapa kali menghantar surat kepada pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan perkara itu, namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Norazmira
Norazmira

Menurutnya, lebih 15 aduan dibuat kepada pihak berwajib dan kali terakhir adalah pada bulan lalu mereka ada menghantar wakil bagi melihat keadaan medan selera itu.

“Ketika itu, kami dimaklumkan bahawa kemungkinan medan selera ini akan dibina baharu namun saya tidak pasti sejauh mana kebenarannya.

“Sekiranya perkara ini masih belum menemui jalan penyelesaian, kami akan bawa perkara ini untuk pengetahuan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan meminta campur tangan kerajaan negeri dalam hal ini,” katanya.

Tambah Norazmira lagi, buat masa ini mereka memperoleh penyelesaian jangka masa pendek apabila menerima bantuan lori tangki air bagi menampung penggunaan air di medan selera berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, pihaknya telah mengambil maklum isu tersebut dan siasatan awal mendapati tekanan air rendah menyebabkan air tidak naik ke tangki utama.

"Perbincangan di antara (pihak) MBK dan PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad) telah dibuat bagi tindakan selanjutnya dan penyelesaian masalah ini," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!