Pengarah syarikat didenda RM15,000 simpan LPG di premis tidak dilesenkan

No Image Caption
A
A
A

KUALA PILAH - Pengarah syarikat didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana menyimpan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di premis yang tidak dilesenkan berjumlah 988 kilogram, tahun lalu.

Hakim, Norma Ismail menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Hakim Ariffin, 30, selepas dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dikenakan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh kemudiannya membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh selaku pengarah sebuah syarikat didapati telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan menyimpan barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual gas petroleum cecair jenama Gasul kapasiti 12 kilogram (kg) sebanyak 17 tong dan Petron Gasul kapasiti 14 kg sebanyak 56 tong yang disimpan dalam premis selain yang dinyatakan dalam lesen.

Perbuatan itu dilakukan pada 6 Julai tahun lalu, lebih kurang jam 11.15 pagi di sebuah premis di Bukit Temensu, Jalan Tampin di daerah ini.

Tertuduh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, gas petroleum cecair yang disita telah dijual dan hasil jualan telah dijadikan Hasil Sementara Kerajaan melalui sebut harga sebanyak RM4,396.46.

Artikel Berkaitan:

Semakan dengan pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) mengesahkan bahawa tempat kejadian yang disita mempunyai lesen perniagaan bagi pusat jualan makanan ternakan dan pembekal bahan pertanian yang dimiliki oleh syarikat tertuduh dan bukannya aktiviti menjual gas petroleum cecair.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Khairul Azman Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, G Dineshan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!