Gagal bayar cukai, 115 tanah dirampas di Kuala Pilah

Pejabat Tanah Daerah Kuala Pilah merampas sebanyak 115 tanah dirampas sepanjang tahun ini akibat kegagalan pemiliknya membayar cukai tanah. Gambar kecil: Mohd Faizal - Gambar hiasan
Pejabat Tanah Daerah Kuala Pilah merampas sebanyak 115 tanah dirampas sepanjang tahun ini akibat kegagalan pemiliknya membayar cukai tanah. Gambar kecil: Mohd Faizal - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA PILAH - Sebanyak 115 tanah di daerah ini dirampas sepanjang tahun ini dan 8,825 surat peringatan telah dikeluarkan akibat kegagalan pemiliknya membayar cukai tanah.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, tindakan tersebut diambil mengikut Kanun Tanah Negara [Akta 828].

Mohd Faizal
Mohd Faizal

"Bermula Januari tahun hadapan, Pejabat Daerah dan Tanah itu akan mengambil tindakan pengeluaran Notis Tuntutan Hasil Terhutang (Notis 6A) mengikut Kanun Tanah Negara [Akta 828] terhadap pemilik yang gagal menjelaskan bayaran Cukai Tanah Semasa tahun 2023.

"Jika pemilik tanah gagal menjelaskan bayaran Cukai Tanah Semasa sebelum atau pada 31 Mei 2024, surat peringatan akan dikeluarkan dan tindakan perampasan tanah akan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, sehingga 29 Disember ini, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah telah mengutip cukai tanah semasa sebanyak RM4,139,261 (97.39%) manakala tunggakan cukai tanah pula sebanyak RM271,443 (77.56%).

Ujarnya, walaupun terdapat penurunan kutipan Cukai Tanah Semasa tahun ini, namun pejabat daerah berkenaan telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam kutipan keseluruhan hasil iaitu sebanyak RM7,000,588.09 (111.78%).

"Kita akan meneruskan Kempen Moh Dogheh Bayar Cukai Tanah yang telah dilaksanakan sejak tahun 2016 sebagai galakan kepada pemilik-pemilik tanah membayar cukai tanah pada awal tahun.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tahun 2024, Kempen Moh Dogheh Bayar Cukai Tanah Kuala Pilah akan dilaksanakan bermula pada 2 Januari 2024 sehingga 31 Mei 2024 dan 1,000 pembayar cukai tanah terawal akan menerima cenderahati eksklusif sebagai tanda penghargaan," katanya.

Mohd Faizal berkata, istimewanya pada tahun 2024, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah akan meraikan 30 pembayar cukai tanah terawal dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah seperti televisyen, penghawa dingin, telefon bimbit dan satu gram emas.