Didik anak jangan boros duit raya

Sambutan Aidilfitri bertambah meriah jika ada yang berkongsi rezeki dengan memberi duit raya.
Sambutan Aidilfitri bertambah meriah jika ada yang berkongsi rezeki dengan memberi duit raya.
A
A
A

SAMBUTAN Aidilfitri tidak lengkap dan bertambah meriah jika ada yang berkongsi rezeki dengan memberi duit raya.

Selalunya anak-anaklah insan paling gembira disebabkan kutipan duit raya mencecah ratusan ringgit, malah ada kalanya mencecah ribuan ringgit.

Bagi mereka yang sudah bersekolah pastinya seronok mendapat duit raya banyak dan berangan-angan berbelanja mengikut kemahuan mereka.

Jadi, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka diamanahkan untuk menyimpan duit raya terutama bagi anak yang masih kecil.

Ia perlu dikawal agar dapat memberi manfaat kepada anak-anak untuk hari-hari mendatang terutamanya bagi menampung kos pendidikan apabila mereka dewasa kelak.

Kita perlu bertegas supaya mereka tidak berbelanja mengikut nafsu. Tambahan pula, ada segelintir ibu bapa yang meminjam atau menggunakan duit anak kerana berdepan masalah kewangan.

Menurut pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, hukum ibu bapa yang menggunakan duit raya anak adalah haram. Yang dibolehkan ialah pinjam sekejap ketika terdesak dan situasi memudaratkan.

Menurut Ustaz Azhar lagi, konsep mengambil duit raya anak adalah sama seperti berhutang maka adalah wajib untuk ibu bapa membayarnya semula.

Artikel Berkaitan:

Mereka perlu mengambil maklum bahawa duit raya adalah hak mutlak anak-anak dan sebagai penjaga, ibu bapa perlu bertanggungjawab menguruskan wang tersebut dengan sebaik mungkin.

Bagi penulis, literasi kewangan suatu kewajipan dan masyarakat perlu celik hal ini dan mesti dididik serta dipupuk sejak awal usia.

Menurut pakar kewangan dan motivator, Dr Azizul Azli Ahmad, literasi kewangan sukar dipupuk apabila sudah mencapai usia dewasa.

Kata beliau, literasi kewangan adalah satu keperluan bagi kanak-kanak kerana ia membentuk mereka rajin menabung dan kesedaran serta kefahaman mengenai kepentingan menabung.

“Ibu bapa berperanan menunjuk suri teladan yang baik kerana anak lebih mudah mengikut perlakuan ibu bapa, berbanding nasihat dan juga arahan untuk menabung.

“Anak dididik daripada kecil untuk menyimpan lebihan wang belanja ke sekolah. Perkara yang betul adalah untuk mengingatkan supaya simpan dahulu apabila ada lebihan baru belanjakan,” ujar beliau.

Ini membantu anak memahami bahawa wang bukan semata-mata untuk dibelanjakan segera, tetapi boleh disimpan untuk masa depan atau tujuan yang lebih penting.

Penulis sendiri memang menanamkan budaya menabung sejak anak-anak masih kecil lagi. Tak kira duit raya atau lebihan duit bulanan mereka.

Perancangan kewangan untuk anak-anak sangat penting demi memastikan masa depan mereka terjamin, lebih-lebih lagi jika mereka berpeluang untuk melanjutkan pelajaran.

Simpanan untuk pendidikan selalu menjadi keutamaan penulis dan suami kerana kos pendidikan semakin tinggi saban tahun.

Sebab itu, kami menabung di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kerana duit tidak boleh dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya dan bagus sebagai persediaan pendidikan anak-anak kelak.

Malah pendeposit SSPN akan menerima manfaat kesihatan dan pengecualian cukai simpanan bersih.

Lagipun, ketika ini syarat untuk meminjam pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) memerlukan akaun SSPN. Orang kata, biar buat awal supaya tak kalut nanti.

Justeru, setiap kali raya, penulis akan menggunakan formula. Sebagai contoh, duit raya dibahagi mengikut nisbah 80:20 iaitu 80 untuk tabungan dan 20 untuk memberi barangan yang anak-anak hajati.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menyimpan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Tabung Haji bagi mengembangkan duit berkenaan.

Kedua-dua institusi ini menawarkan dividen hingga lima peratus setahun selain mengurangkan risiko ‘terguna’ dan hilang.

Secara tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan amat penting dalam memupuk anak menjadi seorang yang celik kewangan.

Tabiat kewangan yang baik sememangnya penting kerana tanpa tabiat terbabit, wang yang sebanyak mana sekalipun akan dibelanja tanpa perancangan sistematik, akhirnya membawa kepada muflis.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang. Senang cerita, sediakan payung sebelum hujan.

* Azie Yahaya ialah Editor Pengisian Sinar Online

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!