Tiada pelajar Pahang belajar di Iran secara formal - Syed Ibrahim

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Syed Ibrahim
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Syed Ibrahim
A
A
A

KUANTAN - Tiada anak Pahang yang melanjutkan pelajaran di Iran secara formal, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ada pelajar secara persendirian berada di negara itu.

"Setahu saya, tiada pelajar tiada pelajar Pahang secara formal di Iran. Jika ada mungkin secara persendirian. Adapun di Timur Tengah seperti Mesir, Jordan dan Yaman memang ada pelajar kita disana.

"Kita juga tidak menerima sebarang aduan daripada pelajar daripada Pahang," katanya pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Iran melancarkan lebih 200 dron dan peluru berpandu balistik kepada Israel.

Menurut wakil tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan ke atas Israel adalah mengikut lunas undang-undang.

Memetik Artikel 51 Piagam PBB, Iran tegaskan republik tersebut mempunyai hak untuk mempertahankan diri susulan serangan Israel ke atas bangunan konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, keadaan di negara berkenaan masih terkawal dan dalam situasi yang baik.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, mereka masih boleh menjalankan pengajian mereka secara normal dan kehidupan mereka masih dalam situasi aman.

"Ertinya tidak terlalu membimbangkan. Kita juga belum menerima apa-apa nasihat dan panduan sama ada dari kedutaan Malaysia di negara berkenaan, mahupun Kementerian yang terlibat," ujarnya

Sehubungan itu, beliau meminta agar penaja yang membiayai pelajar di negara itu sentiasa memantau kebajikan, keselamatan dan pembelajaran mereka dalam keadaan terkawal.

Tegas Syed Ibrahim, beri maklumat segera dan terkini kepada Kerajaan Pahang

"Kita juga menasihati rakyat Negeri Pahang samada diluar negara mahupun dalam negara, pelajar, pengusaha dan siapa jua agar sentiasa mendoakan semoga keadaan bumi Palestin terbela dan kembali bebas, merdeka seperti negara lain.

"Disamping segala kekejaman Rejim zionist dihentikan serta- merta. Dalam waktu sama kita tidak perlu mudah terpengaruh dengan cara negatif dalam bertindak," katanya yang mahu segala gerak laku, tindakan mengikuti panduan pihak berkuasa tempatan dan negara Malaysia serta Kedutaan di Iran.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28