Tempat duduk tiga ADUN dimuktamad sebelum DUN Sarawak bersidang - Speaker

Mohamad Asfia
Mohamad Asfia
A
A
A

KUCHING - Susunan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Engkilili dan Ba’kelalan akan dimuktamadkan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula pada 6 Mei ini.

Speaker, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, beliau telah menerima surat daripada Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing agar meletakkan Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Baru Bian (Ba’kelalan) di blok kerajaan.

"DUN bersidang pada 6 Mei, jadi susunan tempat duduk akan diselaraskan apabila saya membuat sidang media seperti biasa selepas mesyuarat pramajlis sebelum persidangan DUN.

"Di bawah peraturan dua, Peraturan-peraturan Mesyuarat, tertakluk kepada budi bicara Speaker untuk memutuskan siapa duduk di mana," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Tamah DUN Sarawak di sini pada Ahad.

Pada 6 April lepas, Parti Sarawak Bersatu (PSB) sah dibubar dan ahlinya menyertai PDP dengan Presiden PSB Wong dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PDP.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PDP juga sebulat suara melantik Dr Rayong dan Baru sebagai Naib Presiden PDP.

Selain PDP, parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS). GPS kini menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN di Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan: