[VIDEO] Hobi hasilkan 'model kecil' jana pendapatan lima angka

A
A
A

SEREMBAN - Bermula sekadar hobi menghasilkan karya miniatur dan diorama atau model sesuatu objek bersaiz kecil, seorang lelaki mampu menjana pendapatan sehingga lima angka sebulan.

Malah sentuhan kreativiti Muhammad Sharil Muhammad Salim, 35, yang lebih tertumpu kepada kenderaan dan perkakasan turut menarik perhatian peminat hasil seni tersebut dari serata dunia.

Menurutnya, semuanya bermula pada tahun 2017 selepas seorang rakannya meminta bantuan menghasilkan satu figura.

Muhammad Sharil menyiapkan miniatur diorama tempahan pelanggan di pejabatnya
Muhammad Sharil menyiapkan miniatur diorama tempahan pelanggan di pejabatnya

"Waktu itu saya tak terfikir pun nak minta upah, tapi tak sangka pula bila dah siap dia bayar saya RM500.

"Dari situ saya mula terfikir yang seni miniatur diorama ini boleh buat duit dan ia jadi titik permulaan untuk saya lebih serius berkarya," katanya kepada Sinar Harian yang ditemui di pejabatnya di Taman Rasa Sayang di sini baru-baru ini.

Miniatur diorama dalam bandar yang dihasilkan Muhammad Sharil pernah ditawarkan RM28,000 (kiri), Hasil karya seni miniatur diorama bengkel kereta yang dihasilkan Muhammad Sharil
Miniatur diorama dalam bandar yang dihasilkan Muhammad Sharil pernah ditawarkan RM28,000 (kiri), Hasil karya seni miniatur diorama bengkel kereta yang dihasilkan Muhammad Sharil

Menurutnya, hasil seninya mula mendapat perhatian selepas rakannya itu berkongsi di Facebook dan dari situ dia mula mendapat tempahan.

Artikel Berkaitan:

Dengan berpandukan video dalam talian sebagai sumber rujukan, anak jati Seremban itu kini boleh berbangga apabila telah mendapat lebih 50 tempahan membuat miniatur diorama dari luar negara sejak tahun 2020.

Muhammad Sharil berkata menghasilkan sesuatu karya miniatur diorama memerlukan kreativiti dan kesabaran yang tinggi.
Muhammad Sharil berkata menghasilkan sesuatu karya miniatur diorama memerlukan kreativiti dan kesabaran yang tinggi.

"Saya bukanlah pelajar cemerlang di sekolah dan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) saya jana pendapatan dengan menghasilkan seni grafiti.

"Kini Alhamdulillah, seni miniatur diorama ini jadi punca pendapatan utama saya sara keluarga dan dalam sebulan saya mampu memperoleh sehingga RM10,000, bergantung kepada tempahan," katanya.

Sementara itu, dia katanya, ketelitian dan fokus yang tinggi adalah kunci bagi menghasilkan kesempurnaan diorama miniatur kerana mengendalikan bahan yang bersaiz kecil memerlukan kesabaran.

Tambahnya, dalam tempoh sebulan dia biasanya boleh menyiapkan maksimum empat tempahan pelanggan.

"Ketelitian itu yang menjadikan hasil seni menarik peminat sehingga ke luar negara. Ia memang mencabar, namun minat yang mendalam terhadap bidang ini mendorong saya terus berkarya.

"Setiap diorama boleh dihasilkan dalam masa tiga ke empat hari. Saya pernah mendapat tawaran RM28,000 daripada seseorang untuk membeli satu hasil kerja saya, tapi saya tolak kerana masih belum belum bersedia menjualnya," katanya.

Muhammad Sharil berkata, bidang berkenaan mungkin masih baharu di Malaysia tetapi ia sebenarnya telah menjadi hobi satu dunia dan mampu menjana pendapatan lumayan.

"Mungkin ramai yang minat tengok, tapi tak minat membuatnya kerana untuk menghasilkannya memerlukan kreativiti dan kesabaran yang tinggi.

"Sebab itu orang sanggup bayar mahal dan satu diorama saja misalnya tempat letak kereta, saya boleh dapat bayaran RM1,500," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!