Bapa 'terbuang' pilu sambut Aidilfitri di rumah kebajikan

Pak Yen setia menunggu kehadiran anaknya untuk membawa pulang beraya bersama.
Pak Yen setia menunggu kehadiran anaknya untuk membawa pulang beraya bersama.
A
A
A

KUANTAN - Saat paling hiba dan pilu buat bapa kepada lima anak apabila menyambut Aidilfitri di rumah kebajikan orang tua selepas 'dibuang' anak kandung sendiri pada Mac lalu.

Warga emas yang mahu dikenali Pak Yen berkata, sehingga kini dia masih mengharapkan anaknya membawa pulang untuk berhari raya bersama cucu-cucunya di sebuah daerah di negeri ini.

Namun, hasrat lelaki berusia 65 tahun itu hancur berkecai apabila sambutan lebaran bersama 15 rakan seusianya di Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai di Taman Tas dekat sini.

Mohamad Fauzi membetulkan baju melayu yang dipakai Pak Yen ketika ditemui Sinar Harian di Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai di sini.
Mohamad Fauzi membetulkan baju melayu yang dipakai Pak Yen ketika ditemui Sinar Harian di Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai di sini.

"Kalau boleh, hendak suruh anak marilah (datang jemput di rumah kebajikan).

"Rindu hendak balik rumah, (sebab) rasa (mahu beraya) dengan anak cucu," katanya dengan raut wajah yang sedihnya ketika ditemui di rumah kebajikan itu pada Ahad.

Pada 17 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan warga emas yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) ditinggalkan di hadapan di premis berkenaan tanpa memaklumkan kepada pengurus rumah kebajikan terbabit.

Berdasarkan dokumen yang ditinggalkan, warga emas yang dikenali sebagai P​ak Yen itu​, menghidapi kencing manis yang kronik dan pada September tahun lalu telah menjalani pembedahan membuang kaki kanannya.

Artikel Berkaitan:

Pak Yen yang dahulunya bekerja di​sebuah kilang papan​ di sebuah daerah tanpa banyak berbicara memandang pagar rumah kebajikan tersebut dengan harapan kelibat anak lelakinya muncul.

"Raya tahun lalu, sangat bermakna, sebab dapat sambut bersama anak dan cucu, tapi kali ini, sedih," katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Sementara itu, pengurus rumah kebajikan, Mohamad Fauzi Ramli, 35, berkata, apa jua alasannya, perbuatan ‘membuang' ayah atau pun ibu tidak sepatutnya berlaku.

"Apa pun keadaan ibu bapa ketika mereka ​t​ua, ingatlah bahawa semasa kita kecil, kita dijaga ​mereka umpama menatang minyak yang penuh, kini apabila mereka pula tiada daya, jagalah mereka sehabis baik.

​"Kerana berbakti kepada mereka terutama ketika mereka telah tua dan uzur adalah sangat dituntut agama dan hukumnya wajib," katanya.