Peka papan tanda binatang liar, elak lakukan aktiviti di laluan keliaran gajah

Gambar kecil: Abdul Kadir
Gambar kecil: Abdul Kadir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat atau penduduk disaran agar tidak melakukan aktiviti di kawasan yang disyaki ada laluan keliaran gajah bagi mengelak risiko diserang binatang liar terbabit.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, semua pengguna jalan raya perlu peka dengan papan tanda binatang liar yang ada di tepi jalan raya.

Katanya, antara langkah yang boleh dipraktikkan bagi mengelak serangan gajah ialah jangan berhenti di kawasan tersebut serta segera menjarakkan diri apabila terserempak dengan binatang liar itu.

"Selain itu, usah lakukan provokasi atau cubaan ganggu binatang liar terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, Perhilitan juga telah mengenal pasti beberapa lokasi lintasan gajah di seluruh negara misalnya di Johor iaitu Jalan Kahang-Jemaluang, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Kluang-Kota Tinggi.

Tambah beliau, setakat tahun 2022, sebanyak 18 Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) dibina sejak tahun 2009 di Semenanjung Malaysia sebagai inisiatif Jabatan Perhilitan untuk pengurusan konflik gajah dan manusia.

Jelasnya, keseluruhan SPEG sepanjang 305.6 kilometer (km) melibatkan kos mencecah RM13.4 juta dan bertujuan menghalang gajah daripada memasuki kawasan perkampungan dan ladang-ladang penduduk seterusnya dapat mengurangkan kadar aduan konflik manusia dan gajah.

"Di Semenanjung Malaysia terdapat enam negeri yang menjadi habitat kepada gajah iaitu Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata Abdul Kadir, buat masa ini terdapat tiga pusat konservasi gajah di Semenanjung Malaysia di bawah seliaan Perhilitan iaitu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Lanchang, Pahang; Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu dan Santuari Gajah Johor di Kota Tinggi, Johor.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berusia 55 tahun patah kaki dan tulang rusuk selepas diserang gajah liar ketika mencari 'port' buang air besar berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak, kira-kira jam 7 malam, pada Khamis.

Jabatan Perhilitan Perak sebelum itu juga pernah mengingatkan orang ramai yang menggunakan laluan Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik ke Jeli supaya berhati-hati dengan kehadiran gajah di kawasan berkenaan.