Manisan juadah raya di Gaza

Antara manisan yang dijual di pasar terbuka di Rafah, selatan Semenanjung Gaza menjelang Aidilfitri pada Selasa.
Antara manisan yang dijual di pasar terbuka di Rafah, selatan Semenanjung Gaza menjelang Aidilfitri pada Selasa.
A
A
A

SKUDAI - Pelajar Palestin, Maysaa Awad, 35, dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai berkongsi perbezaan antara sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia dengan tempat kelahirannya di Gaza.

Menurutnya, antara perbezaannya ialah dari segi juadah yang dihidangkan ketika menyambut perayaan itu.

“Memang banyak perbezaannya Eid (Aidilfitri) diraikan di sana.

"Di Gaza, masyarakat di sana akan makan seperti manisan, biskut dan beberapa makanan lain seperti kaaf dan mamol.

“Di Malaysia, makanannya agak pedas tapi saya juga menikmati beberapa makanan yang dihidangkan seperti lemang, rendang, ketupat dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Tahun ini merupakan kali kedua Maysaa meraikan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia, setelah kali pertama menyambutnya ketika belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 2018.

Mysaa
Mysaa

Sementara itu, mengenai pengajiannya, Maysaa berazam menamatkan jurusan seni bina yang diambilnya sebaik mungkin sebelum pulang ke tanah kelahirannya itu kelak.

Artikel Berkaitan:

Pelajar tahun satu doktor falsafah (PHD) itu berkata, dia akan memanfaatkan sepenuhnya apa yang dipelajarinya dan berazam untuk terlibat dengan usaha-usaha pembangunan semula Gaza selepas konflik peperangan dengan pengganas Israel berakhir nanti.

“Sebenarnya ijazah seni bina pertama saya perolehi di Gaza sebelum melanjutkan pengajian saya bagi mendapatkan ijazah kedua juga dalam bidang seni bina di USM.

“Alhamdulillah, setelah menamatkan pengajian saya di USM, saya sempat pulang seketika ke Gaza bertemu dengan keluarga sebelum kembali semula ke Malaysia untuk menyambung pengajian saya ke peringkat doktor falsafah pula.

“Saya juga sentiasa berdoa dalam tempoh tiga tahun pengajian ini saya akan dapat melakukan yang terbaik dan mendapat keputusan yang cemerlang,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Menurut Maysaa, dia mula tertarik untuk menyambung pengajiannya di negara ini setelah membaca dan melihat peluang-peluang yang ditawarkan.

Katanya, dia tertarik dengan kaedah pembelajaran dan memaklumkan kepada keluarga untuk melanjutkan pengajiannya di Malaysia.

“Pada mulanya, keluarga saya memang tak izinkan saya datang ke sini tetapi apabila saya berikan penerangan tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran yang disediakan, akhirnya mereka memberikan restu kepada saya.

“Biarpun, ketika ini keadaan tidak menentu di Gaza, tetapi saya masih dapat menghubungi mereka, namun sejak kebelakangan ini saya gagal menghubungi mereka dan saya hanya dapat berdoa mereka dalam keadaan selamat di Gaza,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!