Belum terlambat promosi Tahun Melawat Kedah 2025 - Exco

Mohd Salleh
Mohd Salleh
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menangkis tohmahan segelintir pihak yang menyifatkan promosi Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 agak terlewat diadakan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, dakwaan tersebut tidak relevan biarpun promosi hanya bermula pada pertengahan tahun ini.

Menurutnya, pengenalan logo, tema dan promosi akan dilancarkan pada bulan Jun depan.

“Strategi itu dipilih atas beberapa faktor selain tidak mahu promosi berkaitan TMK 2025 kelak 'basi' selain mahu memperkemaskan terlebih dahulu persiapan sebelum diadakan hebahan.

“Tidak timbul isu kurangnya promosi Tahun Melawat Kedah 2025 atau promosi produk-produk sedia ada di negeri ini,” katanya di sini pada Jumaat.

Mohd Salleh berkata, usaha-usaha sedang dibuat untuk gerak kerja promosi secara agresif bersama pelbagai pihak.

“Kerajaan negeri mempunyai masa secukupnya untuk mempromosi Kedah sempena TMK 2025 sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

“Ada yang kata gerak kerja kita agak terlambat kerana cuti penggal pertama persekolahan bermula pada 27 Mei hingga 4 Jun. Saya percaya perancangan yang dibuat bertepatan, lagipun cuti penggal pertama hanya seminggu.

Artikel Berkaitan:

“Kita sekadar mahu beritahu pada tahun depan akan berlangsung Tahun Melawat Kedah. Bagaimana rupanya, tunggu hebahan selanjutnya. Insya-ALLAH sampai masanya kita akan gegarkan hebahan sama ada secara fizikal mahupun secara maya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, adalah lebih baik untuk semua pihak berkaitan memperkemaskan persiapan sebelum membuat hebahan.

“Apabila promosi itu bermula, ia secara berterusan untuk pastikan bahangnya kekal terasa. Kita tak mau jual cucur kodok sejuk, sebab itu kita tidak mahu promosi awal-awal. Kita nak jual benda panas, benda yang menyelerakan,” katanya.

Mohd Salleh jelaskan, promosi TMK 2025 sebenarnya sedang berjalan namun dalam skala yang sederhana.

“Kita masih dalam fasa wujudkan kesedaran awal akan kehadiran TMK 2025 kalangan masyarakat.

“Usaha untuk pastikan kejayaan TMK 2025 tidak pernah berhenti. Setiap langkah atau ruang yang perlu diambil diisi sebaiknya agar matlamat untuk mengangkat industri pelancongan Kedah ke satu aras baharu seiring dengan TMK 2025 tercapai,” jelasnya.

Menurutnya, perbincangan bersama Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) telah diadakan bagi mempromosikan TMK 2025.

“MATA merupakan antara pemain industri yang aktif dan penganjur Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Asia (AITEX) 2024 yang akan berlangsung di Hotel Sunway Resort, Kuala Lumpur, pada 23 hingga 25 Ogos depan.

“Sejajar dengan peranan AITEX sebagai platform utama pelancongan dan perdagangan Islam, saya yakin TMK 2025 akan memperoleh banyak manfaat daripada kerjasama ini.

“MATA telah menyatakan komitmennya untuk ketengahkan kekayaan warisan sejarah dan budaya, keindahan alam semula jadi tanah besar negeri ini seiring dengan Pulau Langkawi yang sedia tersohor dalam peta pelancongan global,” ujarnya.

Menurutnya, usaha berkenaan tentunya dapat membantu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Dalam pada itu, Mohd Salleh memaklumkan, Gunung Jerai yang merupakan antara produk ikon negeri ini akan ditambah nilai agar terus menjadi pilihan pelancong.

“Ada saranan supaya kita jalin kerjasama dengan pemandu pelancong dengan menawarkan pakej-pakej menarik seperti pakej percutian bulan madu. Selain tambah gerai makanan dan minuman di kaki Gunung Jerai yang sememangnya sudah tersedia,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dalam perancangan untuk membuka kios produk-produk yang sinonim dengan daerah Yan, seperti nira air kelapa, madu kelulut, mi lidi dan beberapa produk lagi.

“Kios produk kraf seperti mini-gendang, tengkolok, cenderahati, kemeja-T bermotifkan Gunung Jerai, semuanya akan dibuka di Gunung Jerai. Malah turut disediakan kiosk menjual produk makanan segera seperti laksa segera,” jelasnya.

Mohd Salleh berkata, PKNK telah memulakan perbincangan awal dengan Pejabat Daerah Yan dan Majlis Daerah Yan bagi mencari kaedah-kaedah bersesuaian bagi meningkatkan lagi nilai Gunung Jerai sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di negeri ini.

“Hotel di puncak Gunung Jerai terletak atas tanah milik PKNK, jadi PKNK berperanan merancang dan mengatur aktiviti di situ, kita akan sokong mana-mana usaha yang bermanfaat, ” ujarnya.