Ibu bapa dinasihat tidak belanja duit raya anak untuk kepentingan sendiri

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membelanjakan duit raya anak mereka untuk kepentingan diri sendiri sebaliknya menyimpan bagi kegunaan anak itu pada masa hadapan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, adalah haram sekiranya ibu bapa menggunakan duit raya yang diberikan kepada anak-anak mereka untuk kegunaan yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, ibu bapa sewajarnya menggunakan duit tersebut untuk kepentingan anak-anak seperti membeli makanan, minuman, pakaian, perhiasan dan sebagainya.

"Pada dasarnya duit raya yang dihadiahkan kepada anak-anak adalah kepunyaan mereka. Oleh itu, ibu bapa wajar menggunakannya untuk kepentingan anak-anak mereka.

"Ibu bapa juga boleh mengambil langkah penjimatan selain menyimpan atau melabur wang berkenaan untuk manfaat berterusan bagi anak-anak mereka.

"Adalah haram sekiranya wang itu dibelanjakan secara boros, membeli barangan yang tidak perlu atau membazir," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hukum ibu bapa yang menggunakan duit raya anak-anak mereka untuk kepentingan diri sendiri.

Bagaimanapun tambah Wan Salim, adalah harus bagi ibu bapa mengambil duit raya atau apa jua harta milik anak-anak mereka jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

"Hukum harus itu bersandarkan kepada sebuah hadis riwayat At-Tirmizi daripada Siti ‘Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada seorang Arab Badawi, bahawa “Engkau dan hartamu adalah milik bapamu".

"Justeru, Imam Maliki, Hanafi dan Syafie berpendapat, adalah harus bagi seorang bapa mengambil harta anaknya jika diperlukan sama ada dengan keredaan si anak atau tidak dan sama ada diketahuinya atau tidak.

"Begitu juga yang difahami daripada jawapan Imam Ahmad Hanbal bila beliau ditanya tentang soalan yang sama," jelasnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!