Kanak-kanak kongsi duit raya sumbang kepada mangsa kebakaran

Faridah (kanan) menerima sumbangan duit raya daripada Mohd Rayyan di hadapan rumahnya di Taman Scientex, Pasir Gudang, pada Ahad.
Faridah (kanan) menerima sumbangan duit raya daripada Mohd Rayyan di hadapan rumahnya di Taman Scientex, Pasir Gudang, pada Ahad.
A
A
A

PASIR GUDANG - Prihatin nasib jiran selepas rumahnya terbakar di Taman Scientex di sini sehari sebelum 1 Syawal, sekumpulan kanak-kanak menyumbangkan duit raya yang diperoleh kepada keluarga berkenaan.

Haraskaiser Mohd Khairul Amri, 11, berkata, hatinya terdetik untuk mengajak enam rakannya menyumbangkan duit yang mereka peroleh selepas beraya di taman itu kerana kasihan melihat jirannya sudah kehilangan tempat tinggal.

Haraskaiser
Haraskaiser

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Scientex itu berkata, walaupun tidak kenal ahli keluarga mangsa tetapi seakan 'terpanggil' untuk membantu.

"Kami sedih kerana mak cik dan keluarganya tidak dapat beraya. Kami dapat kumpulkan duit raya semuanya RM17," katanya kepada pemberita.

Pada jam 12 tengah hari Selasa, rumah Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Faridah P Hamsa, 40, terbakar sehingga memusnahkan bahagian depan dan ruang tamu rumah berkenaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Video kebakaran rumah tersebut yang dirakamkan penduduk taman itu tular di media sosial sehingga mengundang simpati orang ramai kerana berlaku pada hari terakhir Ramadan dan sedang dalam kesibukan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Mohd Rayyan Ramadan Mohd Saifudin, 11, tidak kesah mendermakan duit raya yang diperolehnya malah berasa gembira dapat berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rayyan
Mohd Rayyan

"Tak kisah pun (sumbang duit raya), nanti lepas ini pergi beraya lagi, mak cik pun orang baik-baik," katanya.

Mohd Zafran Izz Cardona, 11, turut meluahkan rasa gembira kerana dapat membantu orang yang dalam kesusahan lebih-lebih lagi jirannya.

Mohd Zafran
Mohd Zafran

"Saya juga sukalah dapat bantu mak cik walaupun tak banyak," ujarnya yang juga murid SK Taman Scientex.

Tengku Syahir Fakri Tengku Shah Azuwal, 11, pula berharap sumbangan tersebut dapat menceriakan keluarga Faridah dalam suasana Syawal yang masih terasa.

Tengku Syahir Fakri
Tengku Syahir Fakri

Sementara itu, Faridah meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan anak-anak jirannya yang menunjukkan sikap mengambil berat walaupun masih kecil.

"Bukan jumlah yang dikira tetapi rasa keprihatinan mereka betul-betul membuatkan hati saya tersentuh," ujar ibu kepada anak berusia 2 sehingga 19 tahun itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!