Susah betul tukar duit raya di bank

Besar sungguh dugaan untuk menukar duit raya yang bukan berlaku hanya pada tahun ini tetapi setiap kali menjelang musim perayaan. Foto hiasan
Besar sungguh dugaan untuk menukar duit raya yang bukan berlaku hanya pada tahun ini tetapi setiap kali menjelang musim perayaan. Foto hiasan
A
A
A

SELAIN bersesak di atas jalan raya, saban tahun umat Islam tidak dapat lari daripada acara wajib beratur panjang di bank untuk menukar duit raya.

Rumitnya menukar duit raya ini, Tuhan saja yang tahu terutama bagi mereka yang tiada 'kabel' kawan-kawan bekerja di bank.

Setiap bank menetapkan hari dan waktu tertentu untuk menukar duit raya dan kebiasaannya menjelang 10 terakhir Ramadan antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari sahaja.

Disebabkan waktu operasi hanya Isnin hingga Jumaat maka mereka yang bekerja waktu pejabat terpaksa mencuri masa bagi tujuan itu.

Jika bernasib baik, urusan tukar duit ini boleh selesai dengan sekali percubaan namun bagi yang tiada 'ong' terpaksa pulang hampa.

Situasi tersebut dihadapi penulis sendiri apabila berulang alik lebih lima kali ke bank bagi menukar duit RM1 dan RM5 memandangkan kemudahan itu tiada di mesin pengeluaran automatik (ATM).

Paling malang apabila beratur sudah hampir sejam dan ketika menghampiri kaunter, pegawai bertugas memaklumkan wang tukaran sudah habis.

Pergi ke bank berikutnya, kakitangan di kaunter memaklumkan, waktu tukaran duit sudah tamat walaupun jam belum menunjukkan jam 12 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Apabila datang keesokan hari pula, alangkah kecewanya hati apabila pihak bank memaklumkan 'duit raya' sudah habis.

Besar sungguh dugaan untuk menukar duit raya yang bukan berlaku hanya pada tahun ini tetapi setiap kali menjelang musim perayaan.

Sudahlah penat berpuasa, perlu beratur panjang, kemudian duit raya diharapkan sudah kehabisan stok. Ini menyebabkan pengguna habis masa dan tenaga beratur.

Susulan kesukaran itu, muncul ejen menyediakan perkhidmatan tukar duit raya dengan kadar upah tertentu untuk memudahkan urusan pengguna.

Timbul pula persoalan, dari manakah ejen-ejen ini memperoleh wang kecil ini dalam kuantiti yang banyak hingga boleh menjalankan ‘perniagaan’ untuk memudahkan pengguna.

Difahamkan, ada antara mereka meletakkan caj perkhidmatan sehingga RM10 bagi setiap RM100 tukaran wang tersebut.

Ini menjadikan, mereka yang menggunakan servis ini perlu membayar sehingga RM50 jika mahu menukar RM500.

Tidak dipastikan adakah kemunculan ejen-ejen ini menjadi salah satu faktor tukaran di bank menjadi terhad kepada pengguna?

Bagaimanapun, orang ramai mempunyai pilihan untuk beratur panjang atau membayar lebih kepada ejen bagi tujuan itu.

Walaupun sekarang kebanyakan orang sudah memiliki e-wallet dan e-tunai namun penggunaannya belum cukup meluas terutama dalam kalangan anak-anak kecil.

Kebanyakan mereka yang memiliki kemudahan tersebut mungkin berusia 15 tahun dan ke atas menyebabkan duit raya dalam sampul masih relevan.

Warga emas yang tidak begitu memahami teknologi juga lebih senang memberikan duit raya berbanding e-tunai.

Berbalik kepada masalah tukar duit raya di bank, dengan kepesatan teknologi dan digitalisasi selain perbankan atas talian, penulis berpandangan pihak bank seharusnya sudah beralih daripada sistem konvensional kepada moden.

Urusan menukar duit raya ini sepatutnya dipermudahkan.

Jika kebanyakan bank boleh membuat urusan tukaran RM10 di ATM, mengapa tidak RM1 dan RM5 juga menggunakan kaedah sama.

Sediakan mesin khas dengan meletakkan ketetapan RM1, RM5, RM10 dalam tempoh sebulan Ramadan dan Syawal sahaja serta hadkan pengeluaran bagi setiap individu supaya lebih ramai dapat manfaat.

Dengan cara tersebut, orang ramai tidak lagi perlu berpusu-pusu menyerbu bank semata-mata untuk menukar duit raya.

Bukan hanya pengurusan lebih sistematik malah kepuasan pelanggan juga berada di tahap terbaik.

* Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28