Melaka siap siaga hadapi peralihan monsun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri telah bersiap siaga untuk menghadapi sebarang bencana termasuk hujan lebat banjir berikutan peralihan monsun sejak 29 Mac lalu, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu perbincangan telah diadakan antara Pengurusan Bencana Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Melaka bagi menghadapi situasi berkenaan.

"Di pihak MetMalaysia saya juga selalu berbincang kalau ada apa-apa amaran kita akan beritahu awal.

"PBT mahupun Nadma kita sentiasa bersiap sedia tetapi setakat ini tiada insiden-insiden banjir atau apa-apa yang teruklah berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Rumah Terbuka peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong di sini pada Khamis.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Terdahulu, MetMalaysia meramalkan kejadian ribut petir dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam ketika fasa peralihan monsun berlaku.

Ia membabitkan kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak yang berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur tidak kukuh.

Artikel Berkaitan: