X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli perniagaan rugi RM1 juta angkara jenayah siber

Din menunjukkan dokumen berkaitan yang membabitkan penipuan jenayah siber.
A
A

SUNGAI PETANI – Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian mencecah RM1 juta apabila menjadi mangsa jenayah siber dalam urus niaga import getah proses dari Thailand dua tahun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 41, berkata, beliau tidak menyangka bahawa penjenayah bertindak licik menggodam e-mel syarikat pengimport di Thailand dan menukar nombor akaun bagi proses transaksi.

Menurutnya, urusniaga berkenaan lancar sejak 2012 tanpa sebarang masalah sehinggalah kejadian itu berlaku pada Ogos 2018.

"Saya menerima e-mel dari syarikat terbabit yang menjelaskan bahawa proses audit sedang dijalankan selain meminta transaksi dilakukan menggunakan akaun berlainan.

“Bagi memastikan kesahihan, saya terus menghubungi rakan perniagaan di Thailand namun gagal.

“Bagaimanapun, saya menerima panggilan semula dari pihak sana dan pengesahan agar saya mematuhi arahan melalui e-mel dengan mengubah transaksi ke akaun lain memandangkan akaun lama berdepan masalah,” katanya.

Maklumat butir diri pemilik akaun dikesan wanita warganegara Thailand yang diubah penjenayah siber.
Maklumat butir diri pemilik akaun dikesan wanita warganegara Thailand yang diubah penjenayah siber.

Menurut Din, transaksi yang dilakukan membabitkan jumlah sebanyak RM957,957 yang merupakan sebahagian lagi pembayaran yang perlu diselesaikan bagi melancarkan proses mengimport getah ke negara ini.

“Secara kebiasaan, syarikat akan menerima pengesahan laluan logistik setelah pembayaran dibuat, namun tidak menerima sebarang pengesahan kali ini membuatkan saya menghubungi syarikat pengimport untuk kepastian.

“Alangkah terkejutnya saya apabila dimaklumkan bahawa tiada sebarang transaksi dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya.

Din berkata, beliau tidak menunggu lama sebaliknya terus membuat laporan polis selain menghubungi dan berjumpa pihak berkuasa Thailand.

Dalam masa sama, beliau meminta agensi perbankan di negara itu untuk mengenal pasti identiti pemilik akaun yang telah menerima transaksi dengan bantuan pihak guaman di sana.

"Setelah mendapat penyata dan maklumat pemilik akaun, mereka mengesan akaun terbabit dimiliki seorang wanita warga Thailand berusia 23 tahun yang telah diupah menjadi pengantara sekumpulan penjenayah siber berasal dari Afrika.

“Maklumat daripada wanita berkenaan telah menjadi petunjuk menjejaki dalang kegiatan jenayah terbabit sehingga membawa kami kepada beberapa warga Afrika yang dikesan bergerak secara kumpulan bagi mendapatkan wang melalui penipuan siber,” katanya.

Penyata akaun menunjukkan aliran keluar masuk wang yang dipindahkan ke akaun lain.
Penyata akaun menunjukkan aliran keluar masuk wang yang dipindahkan ke akaun lain.

Menurutnya, hasil semakan pihak berkuasa Thailand pula mendapati sejumlah wang dari Kemboja juga telah dipindahkan ke akaun sama dalam tempoh terdekat sebelum akaun berkenaan disekat.

“Setelah disoal selidik dan melalui tempoh siasatan, kumpulan terbabit berjanji untuk membayar ganti rugi.

“Namun setelah penantian selama lapan bulan, kita hanya menerima ganti rugi sejumlah RM600,000 dan masih menunggu baki pembayaran yang telah dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata, akibat daripada jenayah itu bukan sahaja membantutkan urusan perniagaan namun membabitkan kerugian besar.

Tambahan pula katanya, proses siasatan amat sukar kerana jenayah berlaku membabitkan negara luar yang mempunyai perbezaan bahasa dan komunikasi.

"Ia telah menjejaskan hubungan perniagaan dan persahabatan, ia juga berisiko kepada tekanan perasaan sehingga boleh membawa kepada permasalahan lain dalam kehidupan.

“Saya tidak menyangka bahawa urusniaga yang dijalankan selama tujuh tahun boleh dirosakkan dengan hanya satu klik.

“Oleh itu, saya nasihatkan berhati-hati melakukan transaksi secara dalam talian supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus