Aktor Malaysia Shabby melangkah ke dunia Kollywood

Pelakon filem Tamil Malaysia Sharath Nair yang lebih dikenali sebagai Shabby bakal melangkah ke dunia 'Kollywood' menerusi projek bersama pelakon terkenal Sivakarthikeyan. Foto Bernama
Pelakon filem Tamil Malaysia Sharath Nair yang lebih dikenali sebagai Shabby bakal melangkah ke dunia 'Kollywood' menerusi projek bersama pelakon terkenal Sivakarthikeyan. Foto Bernama
A
A
A

PELAKON filem Tamil Malaysia Sharath Nair yang lebih dikenali sebagai Shabby bakal melangkah ke dunia 'Kollywood' menerusi projek bersama pelakon terkenal Sivakarthikeyan.

Pencapaian menceburi industri perfileman Tamil bukan sahaja penting untuk dirinya malah turut memberi makna kepada sektor perfileman Tamil dan masyarakat India di Malaysia.

Aktor lelaki berusia 29 tahun berasal dari Batu Caves, Selangor, itu dalam temu bual eksklusif di Wisma Bernama baru-baru ini berkongsi pengalaman menjalani penggambaran di India.

"Penggambaran di India satu pengalaman yang indah, di sebalik kesibukan saya tetap melalui saat menyeronokkan bersama-sama dengan pelakon lain," katanya.

Mengembara ke India bukanlah asing buat dirinya kerana pernah ke negara ini sejak berusia 16 tahun untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Komunikasi Visual di Kolej Loyola di Chennai.

Masalah bahasa bukan halangan buat pelakon ini memandangkan ibunya berasal dari Palakkad, India, sekali gus banyak membantunya menyesuaikan diri dengan slanga tempatan.

Bercerita mengenai pengalaman di set, beliau memuji pelakon Sivakarthikeyan yang bukan sahaja amat menepati masa malah merendah diri dan keikhlasan pelakon itu juga memperlihatkan beliau seorang yang tidak lokek berkongsi pandangan selain turut meminati rancangan televisyen dan filem Malaysia.

Shabby berkata, dalam menempuh perjalanan kariernya beliau amat terhutang budi kepada peminatnya dan "berterima kasih" atas sokongan tidak berbelah bagi yang diberikan selama ini, sekali gus menyuntik semangat kepada dirinya untuk mencuba pelbagai watak dan genre.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengimpikan memegang watak adiwira, romantik dan watak penjahat yang kompleks seperti yang dilakonkan oleh Prithviraj dalam ‘Kana Kanden’,” tambahnya.

Sementara itu, beliau juga menyentuh mengenai kepentingan media sosial dalam persekitaran generasi hari ini, sambil menyatakan platform itu sering digunakan untuk tujuan negatif.

"Dalam landskap media sosial hari ini, hantaran yang meraikan pencapaian mungkin sekadar memperoleh suka dan komen sederhana manakala hantaran mengandungi kata-kata kesat serta tidak sesuai sering mendapat lebih banyak perhatian.

"Komen pada hantaran sedemikian sering menjadi pencetus kepada menularnya sindiran dan trolling sehingga menimbulkan pelbagai isu dalam zaman sekarang,” katanya.

Beliau berkata individu berbakat sering diabaikan kerana mempunyai pengikut media sosial yang lebih sedikit dan walaupun mereka mencuba sedaya upaya menghasilkan kandungan bermutu namun tetap kurang mendapat perhatian.

Mengulas mengenai industri filem Tamil di Malaysia, beliau berkata terdapat perkembangan yang signifikan namun perlu lebih banyak usaha antaranya merekrut pakar atau individu berbakat untuk setiap jabatan, termasuk editor, pereka grafik dan artis kesan visual bagi memastikan industri dapat terus berkembang.

Aktor itu berkata, bagi menyuntik lebih banyak keyakinan dan inspirasi, pihak penerbit perlu lebih yakin dengan keupayaan serta kebolehan pelakon muda, pengarah dan kru.

"Sokongan ini akhirnya akan meluaskan lagi pengaruh dan daya tarikan industri kerana golongan muda memiliki kemahiran menganalisis, mengkritik dan troubleshoot filem yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri perfileman," katanya.

Sejak tahun 2012 Shabby merupakan bintang pilihan untuk pawagam di Malaysia, bermula dengan membintangi filem pendek dan kemudian melebarkan sayap menceburkan diri dalam filem "Kaliyugha" arahan S.T. Bala yang ditayangkan pada 2013.

Shabby terus membuktikan kewibawaan dengan memegang teraju utama dalam filem "Pulanaivu," arahan Shalini Balasundaram dan yang terbaru filem "Rajathanthiram: The Piano," diarahkan oleh Dinakaran dan Aaron Rao selain menceburi filem Melayu menerusi "Telekinesis" arahan Syafiq Yusof.

Tidak ketinggalan Shabby turut muncul di televisyen menerusi beberapa siri seperti "Manmadha Bullets," "Mente", "Jeeyum Neeyum" dan "Sivanthu Pochu Nenje". Penglibatannya dalam siri "Manameh Ketkava" dan "Rasika Rusika" menyerlahkan lagi bakatnya menerusi medium yang berbeza.

Shabby turut mencuba nasib sebagai juruhebah program, penolong pengarah, menari dan reka bentuk grafik selain menyimpan hasrat menjadi penerbit.

Kini, beliau terlibat dalam lima lagi projek, tiga daripadanya sudah pun dimuktamadkan termasuk filem Sivakarthikeyan, manakala untuk dua lagi filem masih dalam perbincangan. - Bernama