Pekerja dalam tempoh percubaan juga wajib carum Perkeso

Shahruddin (tiga dari kanan) bersama Mohd Asmirul (empat dari kanan) menyampaikan replika cek kepada ibu bapa Allahyarham Mohamad Zakaria Roslan yang meninggal dunia akibat kemalangan pada 9 Januari lalu.
Shahruddin (tiga dari kanan) bersama Mohd Asmirul (empat dari kanan) menyampaikan replika cek kepada ibu bapa Allahyarham Mohamad Zakaria Roslan yang meninggal dunia akibat kemalangan pada 9 Januari lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pekerja yang masih dalam tempoh percubaan di sesebuah syarikat wajib mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mendapat perlindungan.

Pengarah Perkeso Kedah, Shaharuddin Waled berkata, individu yang mendapat tawaran pekerjaan wajib dicarumkan dan dilindungi Perkeso di bawah Skim Bencana Kerja pada hari pertama pekerjaan bermula.

Katanya, ini sebagai perlindungan kepada pekerja berkenaan sekiranya berlaku sebarang kemalangan ketika di tempat kerja atau dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja.

"Jika majikan tidak mencarum dengan alasan pekerja itu masih dalam tempoh percubaan, ia tidak benar dan alasan itu tidak boleh diterima.

"Andai kata dalam tempoh itu berlaku apa-apa kemalangan kepada pekerja siapa yang hendak bayar pampasan?" katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Faedah Perkeso bersama Exco Kerajaan Negeri Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris di Kampung Tengah, Kuala Kedah di sini hari ini.

Shaharuddin berkata, Perkeso juga aktif mengenal pasti majikan-majikan yang mengabaikan tanggungjawab mencarum pekerja mereka.

"Kita mempunyai pasukan penguat kuasa yang aktif menjalankan operasi untuk mengesan kes-kes sebegini.

"Malah Perkeso juga mengalu-alukan pekerja yang tidak dicarum oleh majikan untuk tampil membuat aduan, pihak kita akan segera membuat siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, mulai 1 Januari lalu, perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri.

"Antaranya pertanian, penternakan, perhutanan, penjaja dan banyak lagi. Mereka yang mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar.

"Bayaran bulanan yang ditawarkan pula adalah serendah RM13.10 sebulan dan bayaran boleh dibuat di semua pejabat Perkeso," katanya.

Terdahulu, Shaharuddin mengiringi Exco kerajaan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris menyampaikan cek kepada ibu bapa Allahyarham Mohamad Zakaria Roslan yang meninggal dunia akibat kemalangan pada 9 Januari lalu.