Kelantan terima peruntukan RM83.5 juta baik pulih jalan

Dr Izani (tengah) bersama Ir Mohd Suhaili (kanan) menyampaikan sumbangan kepada perantau yang tiba di Kelantan pada Isnin.
Dr Izani (tengah) bersama Ir Mohd Suhaili (kanan) menyampaikan sumbangan kepada perantau yang tiba di Kelantan pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kelantan menerima peruntukan berjumlah RM83.5 juta daripada Persekutuan bagi kerja-kerja membaik pulih jalan Persekutuan yang rosak di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata, peruntukan bagi suku tahun pertama tahun ini setakat 2 April lalu itu disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita menerima peruntukan keseluruhan RM83.5 juta dan daripada itu sebanyak RM44 juta dikhaskan untuk kerja-kerja penyelenggaran turapan.

“JKR mengenal pasti sebanyak 38 lokasi terlibat termasuk 16 yang sudah dilaksanakan di tapak manakala lima daripadanya sudah siap,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi baik pulih jalan di sempadan Kelantan-Terengganu laluan FT003 di Bukit Yong, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah JKR Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail.

Dr Izani berkata, lokasi baik pulih paling banyak melibatkan daerah Gua Musang dengan 11 lokasi dengan peruntukan RM10.7 juta diikuti Kota Bharu (RM11.9 juta) dan Jeli (RM8 juta) masing-masing tujuh manakala empat di Pasir Mas dan tiga di Pasir Puteh.

Selebihnya, dua di Kuala Krai dan Tanah Merah sementara di Tumpat dan Machang, satu yang keseluruhannya dijangkakan siap sepenuhnya pada Jun ini.

Dalam pada itu, tiga lokasi di laluan FT003 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dikenal pasti mengalami kerosakan permukaan jalan dan pihak JKR memohon peruntukan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) serta diluluskan sebanyak RM3.3 juta.

Artikel Berkaitan:

“Lokasi terlibat FT003 Seksyen 660 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di persimpangan lampu isyarat Wakaf Linchong yang akan menelan peruntukan RM800,000.

“FT003 Seksyen 658 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Kampung Wakaf Raja berjumlah RM400,000 dan FT003 Seksyen 657 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhadapan Balai Polis Bukit Yong diperuntukan sebanyak RM2.1 juta,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28