Terengganu, Kelantan terima wang ihsan lebih RM230 juta minggu lepas

Kerajaan salur Wang Ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada Terengganu, RM58.6 juta kepada Kelantan, minggu lepas. Foto Bernama
Kerajaan salur Wang Ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada Terengganu, RM58.6 juta kepada Kelantan, minggu lepas. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan Wang Ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan, minggu lepas bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan selain itu, bayaran RM103.1 juta diberikan kepada kerajaan Terengganu untuk obligasi kerajaan negeri kepada kontraktornya.

Menurut kenyataan itu, sebarang baki Wang Ihsan akan tetap digunakan untuk Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.

"Kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri.

"Ini dicerminkan melalui peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri serta Peruntukan Pembangunan untuk semua negeri bagi tahun 2023 dan 2024," menurut kenyataan itu.

MOF juga memaklumkan Pemberian Negeri disalurkan kepada semua negeri secara serentak setiap bulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan sama menyebut Kerajaan Madani komited memastikan bahawa Wang Ihsan dikhususkan untuk manfaat negeri Terengganu dan Kelantan dengan keutamaan kepada perbelanjaan yang benar-benar membantu rakyat Terengganu dan Kelantan.

"Kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan serta cadangan daripada Kerajaan Terengganu dan Kelantan berhubung penggunaan Wang Ihsan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat Terengganu dan Kelantan,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, tahun lepas, Wang Ihsan petroleum sebanyak RM786 juta telah disalurkan kepada Kerajaan Terengganu dan RM200 juta kepada Kerajaan Kelantan oleh Kerajaan Madani.

MOF menjelaskan pemberian Wang Ihsan bukan merupakan pemberian Kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam undang-undang. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28