Asedes Malaysia, UMK kukuh jaringan seni antarabangsa di Bandung

Seni yang dipamerkan Hypertextuality 2026 di Bandung. Foto Profesor Madya Ahamad Tarmizi
Seni yang dipamerkan Hypertextuality 2026 di Bandung. Foto Profesor Madya Ahamad Tarmizi
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Seniman Seni Digital Malaysia (Asedas Malaysia) bersama Pusat Akselerator Kreatif (CAC), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (FTKW UMK) memperkukuh jaringan seni antarabangsa menerusi penglibatan dalam Pameran Antarabangsa Hypertextuality 2026 di Bandung, Indonesia.

Malaysia diwakili Pengarah CAC FTKW UMK Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan juga Presiden Asedas Malaysia dilantik sebagai salah seorang daripada tiga kurator antarabangsa bersama wakil Indonesia dan Portugal.

Pameran yang berlangsung dari 16 hingga 19 September di Exhibition Hall, Universitas Kristen Maranatha itu menghimpunkan 155 peserta daripada 15 negara dan 42 institusi.

Profesor Madya Ahamad Tarmizi berkata, penglibatannya dalam pameran berkenaan terhasil menerusi jaringan akademik dan seni antarabangsa yang dibangunkan melalui ASEDAS Malaysia dengan institusi seni di Indonesia.

Menurutnya, jaringan itu turut diperkukuh hasil saranan dan sokongan Penasihat Asedas Malaysia, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang membuka ruang kepada hubungan kerjasama lebih luas antara institusi seni Malaysia serta Indonesia.

“Penglibatan ini bukan sekadar penyertaan individu tetapi sebahagian daripada usaha Asedas Malaysia dan CAC FTKW UMK untuk memperluas jaringan seni, akademik dan teknologi di peringkat antarabangsa.

“Sebagai kurator, peranan saya adalah menilai karya dari aspek idea, budaya, bahasa visual, teknologi dan perkembangan seni kontemporari termasuk hubungan antara kreativiti manusia dengan kecerdasan buatan generatif atau AI generatif,” katanya.

Profesor Madya Ahamad Tarmizi
Profesor Madya Ahamad Tarmizi

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, antara perkara menarik dalam pameran itu ialah pertemuan antara tradisi dan teknologi apabila unsur seperti batik, wayang, mitologi, cerita rakyat dan pengetahuan tradisional diketengahkan bersama pengimejan digital, media interaktif serta AI.

“Perkembangan ini menunjukkan tradisi tidak semestinya hilang apabila teknologi berkembang, sebaliknya boleh ditafsir dan dihidupkan semula dalam konteks baharu,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan Malaysia dalam program antarabangsa seperti itu memberi pendedahan global, pertukaran pengetahuan serta membuka peluang kepada UMK dan penggiat seni tempatan dalam bidang pameran, penyelidikan, program kuratorial, mobiliti akademik dan kolaborasi rentas negara.

Katanya, kerjasama tersebut juga berpotensi diperluaskan dalam bidang seni, budaya, teknologi dan AI generatif bagi memperkukuh hubungan antara institusi seni dan akademik di peringkat antarabangsa.

“Selepas pameran ini, hala tuju seterusnya ialah memperkukuh jaringan dengan institusi seni antarabangsa supaya Malaysia bukan sahaja menjadi peserta, tetapi turut menyumbang idea dan membentuk wacana seni kontemporari antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Sarjana Seni Rupa Murni FHIK Universitas Kristen Maranatha, Erika Ernawan berkata, penganjuran program bertaraf antarabangsa itu merupakan sebahagian daripada strategi program berkenaan untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem seni rupa global.

Menurutnya, pameran tersebut turut mempertemukan proses akademik dengan amalan profesional serta perkembangan seni kontemporari melalui pertukaran idea antara mahasiswa, ahli akademik, seniman dan institusi.

“Hypertextuality 2026 turut menampilkan diskusi seni bertajuk Zeitgeist and Hypertextuality yang membincangkan perkembangan pemikiran dan amalan seni dalam konteks perubahan zaman,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!