MP Tanjong Karang terima peruntukan lebih RM200,000 selepas sokong PM

Zulkafperi (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Ihya Ramadan di Pusat Latihan dan Khidmat Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampung Sungai Kajang di sini pada Ahad.
Zulkafperi (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Ihya Ramadan di Pusat Latihan dan Khidmat Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampung Sungai Kajang di sini pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi mengakui sudah membelanjakan lebih RM200,000 peruntukan kerajaan setelah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, rakyat di Parlimen itu kembali menerima manfaat dan peruntukan sewajarnya terutama sepanjang Ramadan ini.

Menurut beliau, antara program dilaksanakan termasuklah Jualan Madani selain beberapa peruntukan kepada institusi masjid, surau dan sekolah.

"Malah, kita juga banyak menghadiri dan memberi sumbangan pada program berbuka puasa, tarawih dan golongan memerlukan," katanya ketika ditemui pada Program Ihya Ramadan di Pusat Latihan dan Khidmat Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampung Sungai Kajang di sini pada Isnin.

Seramai 130 golongan asnaf terdiri daripada fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan tersebut.

Zulkafperi memberitahu, beberapa projek pembangunan dan infrastruktur yang tertangguh sejak setahun lalu juga akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Memang kita ada peruntukan (pembangunan), tetapi semua dalam proses kerana itu tidak boleh diberi serta merta.

"Kita juga ada terima permintaan peruntukan daripada penduduk, institusi rumah ibadah serta beberapa aduan longkang atau jalan rosak untuk diambil tindakan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, bagi individu pula kita akan membantu untuk merujuk bantuan kesesuaian melalui Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)," tambah beliau.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan sokongan kepada Anwar termasuk Zulkafperi.

Selain Zulkafperi mereka ialah, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!