Aidilfitri: Kenderaan dijangka masuk Kelantan tiga kali ganda

Muhamad Zaki (kanan) menyampaikan topi keledar kepada pengguna jalan raya semasa Program Keselamatan Jalan Raya Ops Selamat 22/2024 Sempena Aidilfitri di hadapan Balai Polis Binjai, di Kota Bharu pada Isnin.
Muhamad Zaki (kanan) menyampaikan topi keledar kepada pengguna jalan raya semasa Program Keselamatan Jalan Raya Ops Selamat 22/2024 Sempena Aidilfitri di hadapan Balai Polis Binjai, di Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menjangkakan jumlah kenderaan memasuki negeri ini sempena Aidilfitri bertambah lebih tiga kali ganda berbanding hari biasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, andaian itu berdasarkan setiap orang anak yang pulang ke kampung akan memandu sebuah kereta.

"Jika sebuah rumah, secara puratanya kita andaikan tiga buah kereta.

"Jadi kami tidak menolak jika penambahan kenderaan ke negeri ini pada Aidilfitri kali ini ialah tiga kali ganda," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu beliau merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Ops Selamat 22/2024 Sempena Aidilfitri di hadapan Balai Polis Binjai, di sini.

Hadir sama ialah Pengurus Besar SIRIM Berhad (SIRIM), Aminudin Abd Aziz.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki memberitahu Ops Selamat kali ini pihaknya cuba berusaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di samping kes pecah rumah semasa penghuni berada dalam atau luar negeri.

Pengguna jalan raya semasa Program Keselamatan Jalan Raya Ops Selamat 22/2024 Sempena Aidilfitri di hadapan Balai Polis Binjai, di Kota Bharu.
Pengguna jalan raya semasa Program Keselamatan Jalan Raya Ops Selamat 22/2024 Sempena Aidilfitri di hadapan Balai Polis Binjai, di Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pada masa sama polis akan menempatkan petugas trafik di kawasan black spot yang sering berlaku kemalangan iaitu di daerah Kota Bharu membabitkan empat lokasi kemalangan, Kuala Krai (6), Machang (10), Tumpat (7), Gua Musang (6), Pasir Puteh (7), Pasir Mas (12), Tanah Merah (6),Jeli (5), dan Bachok (3).

"Kawasan hotspot yang kerap berlaku kesesakan membabitkan enam lokasi di Kuala Krai, Machang (7), Tanah Merah (2), Pasir Mas (3), Gua Musang (5), Kota Bharu (4), dan Bachok (3)," katanya.

Muhamad Zaki memberitahu, selain itu polis akan menempatkan anggota di kawasan yang sering mengalami kesesakan termasuk susur keluar.

Ujarnya, langkah itu bertujuan melancarkan aliran trafik supaya bergerak lancar sekali gus mengurangkan kesesakan.

"Selain itu, polis turut bersama JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), JKR (Jabatan Kerja Raya) dan PBT pihak berkuasa tempatan telah membuat aliran baharu mengikut daerah masing-masing.

"Jadi saya harap, pendekatan baharu ini mampu mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan trafik," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28