Kerja kotor, bergelumang sampah

Zawiyah (kiri) dan Siti Khatijah melakukan tugas menyapu sampah di tepi jalan utama di tengah bandaraya Kuantan.
Zawiyah (kiri) dan Siti Khatijah melakukan tugas menyapu sampah di tepi jalan utama di tengah bandaraya Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Bergelumang dengan kekotoran dan bau busuk sampah selain terdedah dengan persekitaran berbahaya antara cabaran yang terpaksa dihadapi Zawiyah Bujok, 53, selepas mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pekerja pembersihan sejak 14 tahun lalu.

Segala risiko dan cabaran itu diterima dan dilalui seikhlas hati oleh Zawiyah sebagai asam garam pekerjaannya sebagai tukang sapu, dianggap sebagai wirawati baju merah yang tidak didendang.

Ibu tunggal dari Rumah Rakyat Pak Mahat, di sini berkata, sebagai pekerja syarikat pembersihan Alam Flora, dia diamanahkan untuk menjaga kebersihan beberapa jalan utama di tengah bandaraya Kuantan yang sentiasa sibuk dengan kenderaan.

“Saya perlu sentiasa peka dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling bagi mengelak kejadian tidak diingini. Pernah nyaris dirempuh kereta ketika menyapu di tepi jalan namun mujur masih dilindungi,” kata ibu kepada enam anak itu.

Tambahnya, bergelumang bau busuk sampah, berpanas di bawah terik matahari dan kuyup dibasahi hujan adalah lumrah bagi tukang sapu sepertinya.

“Itu belum lagi bahaya tersembunyi seperti haiwan berbisa dan objek-objek tajam di sebalik sampah yang dikumpulkan. Awal-awal kerja dulu mengeluh juga dan pernah terlintas untuk berhenti kerana malu dan tidak tahan bergelumang sampah setiap hari,” kongsinya.

Memikirkan niatnya bekerja untuk mencari rezeki halal demi menyara keluarga, Zawiyah ketepikan segala perasaannya ketika itu dan terus bekerja sehingga kini.

Malah wanita itu berkata, tiga anaknya turut mengikuti jejaknya sebagai pekerja pembersihan.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik kecekalannya, dia mengakui masih berdepan stigma sosial segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap pekerja pembersihan sepertinya.“Tidak semua, ramai juga yang menghargai tugas kami ini. Alangkah bahagia sekiranya anggota masyarakat lebih bertanggungjawab menjaga persekitaran dengan mengamalkan budaya pengurusan sampah yang baik dan tidak membuangnya merata-rata,” ujarnya.

Bagi rakan sekerjanya, Siti Khatijah Azuwin, 32, desakan hidup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan ketika penularan pandemik Covid-19 kira-kira tiga tahun lalu mendorong wanita itu dan suaminya memohon kerja sebagai pekerja di Alam Flora.

Ibu kepada seorang anak dari Indera Mahkota itu mengakui, awalnya dia tidak bersedia namun nekad melaluinya demi sesuap nasi.

“Terfikir juga masa itu, kalau asyik pilih kerja, macam mana nak cari duit. Lagipun pekerjaan ini mulia dan saya lapangkan dada anggap apa yang saya lakukan ini sebagai satu ibadah,” katanya yang sudah lebih tiga tahun bergelar pekerja pembersihan.

Ujarnya, cabaran besar adalah sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang kurang peka terhadap kebersihan.

“Walaupun pekerjaan ini dianggap kelas bawah, saya tetap bangga dapat berkhidmat supaya masyarakat terus menikmati suasana yang bersih dan selesa,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28