800 kenderaan dikesan pandu lebih 170km/jam

Lokman (kiri) turut memeriksa motosikal ketika Operasi Bersepadu Motosikal Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Bandar Meru Raya, di sini pada Ahad.
Lokman (kiri) turut memeriksa motosikal ketika Operasi Bersepadu Motosikal Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Bandar Meru Raya, di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan sebanyak 800 kenderaan dipandu melebihi 170km/jam sepanjang enam hari Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri bermula 1 April lalu.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan tersebut dikesan melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya turut mengesan sebanyak 16,142 kes memandu melebihi had laju yang mana 95 peratus memandu dalam kelajuan di antara 130 km/j sehingga 170 km/j.

"Pemanduan seperti ini merupakan satu risiko sangat tinggi yang boleh menyebabkan kemalangan dan kemalangan maut. Kita boleh lihat bahawa sikap pemanduan laju ini masih belum dapat dikurangkan.

"Memandu laju ini merupakan kesalahan yang serius jadi saya ingin menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi peraturan jalan raya dan mematuhi had laju yang ditetapkan.

"Untuk jalan-jalan persekutuan, had laju telah diturunkan daripada 90km/jam kepada 80km/jam manakala had laju lebuh raya kekal," katanya kepada pemberita sempena Operasi Bersepadu Motosikal Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Bandar Meru Raya di sini pada Ahad.

Sebahagian motosikal yang turut disita dalam Operasi Bersepadu Motosikal Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Bandar Meru Raya, pada Ahad.
Sebahagian motosikal yang turut disita dalam Operasi Bersepadu Motosikal Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Bandar Meru Raya, pada Ahad.

Hadir sama dalam operasi tersebut, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusof Abustan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Lokman berkata, JPJ turut meningkatkan pemeriksaan terhadap tingkah laku pengendali motosikal menerusi Ops Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, bagi tempoh 1 hingga 6 April, JPJ telah memeriksa sebanyak 100,684 motosikal dan sebanyak 13,128 daripadanya telah diambil tindakan.

Jelasnya, sejumlah 26,313 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan atas kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan termasuk 1,464 motosikal di sita atas kesalahan ekstrem.

"Antara kesalahan ekstrem ini, ada yang membuka brek mereka semata-mata untuk membolehkan motosikal mereka mendapat kelajuan maksimum.

"Pemeriksaan terhadap motosikal ini dibuat kerana mereka penyumbang sebanyak 70 peratus bagi kemalangan maut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ meneruskan Operasi Khas Motosikal di sekitar Ipoh pada Ahad melibatkan kekuatan seramai 50 pegawai dan anggota.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28