Kes saman SSI: Aras Niaga didakwa tak patuhi syarat pajakan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kumpulan Aras Niaga Berhad (Aras Niaga) yang memfailkan saman bernilai RM310 juta terhadap Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Kedah didakwa tidak mematuhi syarat pajakan tanah yang ditetapkan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarikat tersebut memajak tanah berstatus pertanian dan membayar pajakan hartanah tersebut pada harga tanah pertanian, menyebabkan hanya aktiviti berkaitan pertanian dibenarkan di kawasan terbabit.

Menurutnya, sekiranya Aras Niaga berhasrat melakukan aktiviti selain daripada pertanian, mereka sepatutnya berunding dengan SSI selaku tuan tanah.

“Kebenaran itu tetap terletak pada pihak SSI bagi membuat keputusan. Kalau nak buat aktiviti lain kena bincang, runding, kalau tuan tanah tak izin, tak boleh.

“Contohnya, kamu ada tanah, saya pajak tanah kamu buat bendang, tiba-tiba saya nak buat benda lain, kamu tak benarkan, lepas itu saya marah kamu. Bolehkah begitu? Tanah itu kamu punya, ikut suka kamu nak benarkan atau tidak," katanya pada sidang akhbar selepas program Cahaya Ramadan Yayasan TM bersama anak yatim di Kompleks Pekan Rabu, di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Kumpulan Aras Niaga Berhad memfailkan saman bernilai RM310 juta ke atas SSI Kedah yang didakwa melanggar perjanjian pajakan tanah yang ditandatangani pada 2020.

Tiga pihak dinamakan sebagai defendan dalam writ tuntutan berkenaan, iaitu SSI Kedah, Pengurus Besar SSI Kedah dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.

Artikel Berkaitan:

Tuntutan tersebut difailkan pada 25 Mac lalu, selepas SSI mengarahkan Aras Niaga menyerahkan kembali tanah seluas 255 hektar di Mukim Semeling, Kuala Muda yang dipajak secara sah kepada SSI.

Difahamkan, syarikat berkenaan merancang untuk melakukan aktiviti perlombongan bijih besi di tapak berkenaan, namun gagal memperoleh lesen perlombongan selepas mengeluarkan modal jutaan ringgit bagi melakukan kajian dan penyelidikan di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, Sanusi tegaskan, kes berkenaan sewajarnya diputuskan oleh mahkamah berikutan telah difailkan oleh pihak terlibat.

“SSI seperti MBI (Perbadanan Menteri Besar), cuma bawah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), bila jadi kes mahkamah perlu dijawab di mahkamah.

“Asasnya mereka pajak tanah pertanian, maka aktiviti pertanian sahaja dibenarkan kerana memajak pada harga pertanian,” ujarnya.

Menurutnya, tidak dapat dipastikan sama ada Aras Niaga melanggar syarat pajakan kerana perkara sebenar hanya diketahui SSI selaku pemilik tanah yang dipajak.

"Saya tak pasti mereka langgar syarat atau tidak, yang pasti SSI selaku tuan tanah tidak benarkan. Mengapa nak marah saya? Saya tak ada sangkut paut, SSI bawah SUK. Saya tak terlibat dalam ahli lembaga pengarah SSI, mereka ada ahli lembaga pengarah sendiri, ia tak terlibat dengan saya,” ujarnya.

Sanusi jelaskan, adalah tidak wajar menyalahkan dirinya dalam isu pajakan syarikat terbabit kerana SSI ditadbir secara langsung oleh mana-mana SUK yang dilantik bagi memegang aset tanah milik kerajaan negeri.

“SSI ini sebenarnya badan yang pegang aset terutama tanah bagi pihak kerajaan negeri. Dulu SSI pegang tanah kubur, tanah buat taman perumahan dan perumahan rakyat. Bila selesai jual beli SSI akan lepas hak milik tanah.

"Itu tanah SSI, orang pajak untuk pertanian tapi nak buat aktiviti lain, dia tak benarkan, ikut suka dia sebab tanah dia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!