Kumpulan ALR sumbang tiga kenderaan peronda kepada PDRM

Sazally (dua dari kanan) dan Razarudin (dua dari kiri) ketika majlis penyerahan kenderaan peronda itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.
Sazally (dua dari kanan) dan Razarudin (dua dari kiri) ketika majlis penyerahan kenderaan peronda itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) menyumbang tiga kenderaan rondaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mempertingkatkan tahap pemantauan trafik dan keselamatan pengguna di empat lebuh raya bawah kendaliannya di Lembah Klang.

Majlis penyerahan kenderaan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Sazally Saidi kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Kenderaan rondaan baru itu bakal membantu Unit Expressway Mobile Police Vehicle (EMPV) di bawah seliaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) untuk mengadakan rondaan lebih efisien di lebuh raya bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat dan selesa.

Sazally (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci kenderaan peronda kepada Razarudin (tengah) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.
Sazally (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci kenderaan peronda kepada Razarudin (tengah) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.

Menurut Sazally, pasukan EMPV Lebuhraya Sprint, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Kesas kini mengawal selia kira-kira 1 juta trafik harian bertol dan hampir jumlah 3.5 juta trafik di kawasan tidak bertol tiga lebuh raya berkenaan.

“Keberkesanan aspek penguatkuasaan dan kawalan lalu lintas menuntut kerjasama yang erat di antara Kumpulan ALR dan pihak PDRM.

“Sumbangan kenderaan ini adalah selaras dengan sokongan berterusan kumpulan untuk inisiatif-inisiatif keselamatan jalan raya PDRM dan juga untuk mengiktiraf kerjasama lama antara kedua-dua pihak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, antara tahun 1996 dan 2024, sejumlah 40 kenderaan bernilai RM3.12 juta telah disumbangkan oleh lebuh raya di bawah kendalian Kumpulan ALR kepada PDRM.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!