Wahab bakal dedah identiti 'Mr H' kepada polis?

Abdul Wahab (kanan) dijangka mendedahkan identiti 'Mr H' susulan dipanggil Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung kes laporan polis dibuat Mohammad Agus.
Abdul Wahab (kanan) dijangka mendedahkan identiti 'Mr H' susulan dipanggil Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung kes laporan polis dibuat Mohammad Agus.
A
A
A

SHAH ALAM - Spekulasi kini bertiup kencang mengatakan Penolong Pegawai di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani dijangka mendedahkan identiti 'Mr H' kepada polis pada hari ini.

Sumber dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Abdul Wahab yang terkait dengan dakwaan rakaman video tular perbualan lucah bersama bekas Ketua Pengarah J-Kom, Datuk Mohammad Agus Yusoff dipercayai akan berbuat demikian susulan dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk memberi keterangan pada jam 12 tengah hari ini.

Ujarnya, Abdul Wahab dijangka hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai saksi bagi kes laporan polis dibuat Mohammad Agus dan bakal ditemani peguamnya.

"Saya juga percaya Abdul Wahab akan turut membuat laporan polis bagi mendedahkan identiti 'Mr H' yang menjadi dalang penyebaran video tular mengaibkan itu pada hari ini (Rabu).

"Beliau bakal ditemani oleh peguamnya dan saya turut difahamkan keadaan mentalnya setakat ini masih baik," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan kes pendedahan video tular Mohammad Agus yang dipercayai menjadi faktor utama beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-Kom secara mengejut baru-baru ini.

Sebelum ini, Mohammad Agus dan Abdul Wahab dalam satu sidang akhbar mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.

Abdul Wahab, 33, mendakwa telah diarahkan oleh individu bernama 'Mr H' untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-Kom itu.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Mohammad Agus tampil membuat laporan polis berkait rakaman video itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dengan polis sudah merakamkan keterangan bekas penganalisis politik terkemuka itu.

Namun begitu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan identiti ‘Mr H’ juga masih misteri kerana hanya Abdul Wahab yang dapat mengesahkan individu berkenaan.