'Sepatutnya kami beli baju raya malam ini'

Norzalifa menyiram pusara kedua anaknya yang dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor.
Norzalifa menyiram pusara kedua anaknya yang dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Hasrat seorang ibu untuk menunaikan hajat beli baju raya tidak kesampaian apabila dua daripada empat anaknya maut dalam nahas langgar lari ketika menuju ke sekolah di Kilometer 38 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Taman Desa Salak di sini pada Jumaat.

Dalam nahas jam 7.12 pagi itu, Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Beluru di sini, mengalami kecederaan parah dan maut di lokasi kejadian.

Menurut Norzalifa Mohd Yusof, 35, dia dan suami merancang membawa anak-anaknya itu untuk membeli pakaian raya tambahan lagi Ahmad Marikh sering bertanyakan tema yang akan dipakai pada lebaran nanti.

Tambahnya, anak bongsunya itu dilihat teruja untuk membeli pakaian raya ketika mereka bersahur bersama.

"Adik (Marikh) paling gembira sering bertanyakan baju raya baru untuk dipakai nanti, tema apa. Masa itu saya belum gaji lagi dan minta dia bersabar.

"Tetapi saya memang ada hasrat nak bawa mereka pergi beli baju raya malam ini (Jumaat) selepas beberapa kali tertangguh.

Gambar dari kiri: Ahmad Zuhal, Ahmad Marikh
Gambar dari kiri: Ahmad Zuhal, Ahmad Marikh

"Adik cakap seronok sebab lagi seminggu nak raya dan dia beritahu perlu pakai baju raya ketika sambutan raya di sekolah nanti," katanya ketika ditemui di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor di sini.

Artikel Berkaitan:

Norzalifa yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di Kuala Kangsar berkata, kedua anaknya itu sering menaiki motosikal untuk ke sekolah yang terletak sembilan kilometer dari rumah mereka, Kampung Salak Stesen di sini.

"Saya keluar dahulu untuk 'punch card' barulah mereka keluar pergi sekolah. Sepatutnya mereka berkonvoi bersama anak ketiga, Ahmad Musytari, 16, tetapi hari ini dia tidak mahu pergi sekolah.

"Baru beberapa minit sampai, rakan telefon beritahu anak kemalangan dan telah pun menghembuskan nafas terakhir.

"Saya bergegas balik dan lihat mereka terbaring sudah bertutup dengan kain putih. Tak sangka walaupun susah nak terima tapi kami sekeluarga reda," katanya.

Tambah Norzalifa, kedua-dua anaknya itu sangat rapat dan menyifarkan mereka sebagai anak yang ringan tulang membantu keluarga.

Norzalifa dipapah oleh suami Norazlan Tajuddin, 37, dan anak sulungnya, Puteri Nurdiana, 19, selepas selesai pengebumian dua anaknya diTanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor.
Norzalifa dipapah oleh suami Norazlan Tajuddin, 37, dan anak sulungnya, Puteri Nurdiana, 19, selepas selesai pengebumian dua anaknya diTanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor.

"Mereka tidur bersama walaupun sering bercakaran setiap kali jumpa. Ada sahaja gaduhnya tetapi keletah merekalah yang menceriakan kami.

"Raya nanti tiada persiapan pun dibuat melainkan kuih raya yang sempat kami buat bersama-sama," katanya.

Terdahulu, jenazah dua beradik disolatkan di Masjid Kariah Salak, Kampung Perik oleh kira-kira 200 jemaah selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor di sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Kangsar ke Ipoh telah memasuki simpang kanan secara mengejut, menyebabkan berlaku pelanggaran dengan motosikal Honda EX5 mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Norzalifa ditenangkan oleh ahli keluarganya ketika berada di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor.
Norzalifa ditenangkan oleh ahli keluarganya ketika berada di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor.

"Nahas itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan terbabit melarikan diri.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan politrauma dengan kecederaan leher atau patah serviks," katanya.

Tambah beliau, polis berjaya menahan pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 50-an berkenaan sekitar jam 1.20 tengah hari oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak di sebuah kebun.

"Suspek yang bekerja sebagai kontraktor itu telah ditahan dan ujian awal saringan air kencing mendapati keputusannya adalah negatif.

"Kita juga telah mengambil sampel darah suspek untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi siasatan lanjut. Kenderaan suspek turut dirampas," katanya.

Menurut beliau, permohonan reman akan dibuat pada Sabtu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!