Tanggungjawab pemerintah dalam pengurusan zakat

Kecekapan pengurusan kutip, agihkannya meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat

ADALAH menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengutip, mengurus dan mengagihkan zakat. Gambar Hiasan/Gambar kecil: DR MOHD SUKKI
ADALAH menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mengutip, mengurus dan mengagihkan zakat. Gambar Hiasan/Gambar kecil: DR MOHD SUKKI
A
A
A

ZAKAT merupakan ibadah yang sangat istimewa kerana ia dapat memainkan peranan penting dalam membangunkan dan memangkin pertumbuhan ekonomi umat Islam, selain berupaya meningkatkan martabat ummah.

Menurut Sarjana Islam, Profesor Dr Yusuf al-Qaradawi, pelaksanaan ibadah zakat bukanlah wajib atas individu semata-mata, bahkan ia adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan di bawah pengawasan dan pengurusan pemerintah atau kerajaan.

Dalam konteks pentadbiran dan pengurusan zakat, pihak pemerintah diberikan sepenuh kuasa memungut dan mengagihkan zakat, lalu diberikan tanggungjawab kepada organisasi serta institusi zakat atau amil bagi mengendalikan kelicinan urus tadbir zakat.

DUIT zakat yang dikutip akan digunakan dan dimanfaatkan oleh golongan asnaf. Gambar Hiasan/Foto Pexels
DUIT zakat yang dikutip akan digunakan dan dimanfaatkan oleh golongan asnaf. Gambar Hiasan/Foto Pexels

Peranan pemerintah dalam pengurusan dan pentadbiran zakat menjadi elemen yang sangat penting dalam sistem pemerintahan Islam kerana ia berkait rapat dengan usaha meningkatkan kesejahteraan hidup dalam masyarakat serta negara.

Sahabat memerangi golongan tidak tunai zakat

Dalil jelas yang menunjukkan bahawa tugas mengutip dan mengagihkan zakat adalah tanggungjawab pemerintah seperti direkodkan dalam firman ALLAH SWT dalam ayat ke-103, Surah at-Taubah.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ibnu Kathir, ALLAH SWT memerintahkan rasul-Nya untuk mengambil zakat daripada harta bagi membersih dan menyucikan mereka.

Namun, terdapat sebahagian daripada kalangan Arab Badwi enggan membayar zakat dengan menganggap bahawa pembayarannya bukanlah kepada imam atau pemimpin, sebaliknya ia adalah khusus kepada Rasulullah SAW.

Pemahaman yang salah itu dijawab dengan tegas oleh khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan sahabat lainnya dengan memerangi mereka, sehinggalah mereka bersedia membayar zakat kepada khalifah.

Dalam kes ini, Abu Bakar RA pernah berkata: "Demi ALLAH, seandainya mereka membangkang aku, dan tidak mahu menunaikan zakat ternakan untanya yang biasa mereka tunaikan kepada Rasulullah SAW, maka sesungguhnya aku benar-benar akan memerangi mereka kerana keengganan tersebut."

Perkataan ‘khuz’ yang bermaksud ‘ambillah’ dalam ayat ke-103 Surah at-Taubah itu juga merupakan perintah yang ditujukan kepada pihak berkuasa atau pihak pemerintah supaya memungut zakat daripada orang yang layak mengeluarkannya.

Sehubungan itu, adalah menjadi kewajipan kepada pemerintah untuk memungut, mengurus dan mengagihkan zakat.

Pungut dan agih zakat dilaksana khalifah, wakil

Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari menegaskan bahawa imam (pemimpin) atau khalifah adalah orang yang melaksanakan pemungutan dan agihan zakat, sama ada ia yang mengurusnya secara langsung atau pun melalui wakil yang dilantik seperti organisasi zakat.

Selain itu, pandangan Imam Asy-Syafie juga menyatakan bahawa pemimpin wajib mengutip zakat daripada golongan yang telah cukup syarat untuk mengeluarkannya.

Al-Jasas dalam kitab Ahkamul Quran pula menegaskan bahawa orang yang wajib membayar zakat tidak boleh mengagihkan zakatnya sendiri.

Ini kerana apabila ia mengagihkan zakatnya sendiri kepada orang miskin, maka ia tidak dianggap wajar sebab ia masih tidak terlepas daripada hak pungutan oleh pemimpin atau khalifah.

Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan, para fuqaha’ bersepakat bahawa pemerintah mempunyai hak untuk mengutip dan mengagihkan zakat serta mereka hendaklah mengurusnya secara sistematik dan tersusun.

Hal itu supaya zakat tersebut dapat diuruskan dengan efisyen serta dapat memastikan ia disalurkan kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.

Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Majmuk Syarah al-Muhazzab menyatakan apabila terdapat golongan yang tidak mengetahui kewajipan untuk mengeluarkan zakat atau bersifat bakhil, maka menjadi kewajipan atas pemimpin untuk melantik wakil bagi memungutnya.

Pemerintah kemudiannya wajib mengagihkan dana zakat tersebut kepada golongan asnaf yang berhak (mustahik).

SAH membayar zakat terus kepada golongan asnaf namun ia mengetepikan tanggungjawab pemerintah. Gambar Hiasan/Foto Pexels
SAH membayar zakat terus kepada golongan asnaf namun ia mengetepikan tanggungjawab pemerintah. Gambar Hiasan/Foto Pexels

Sah zakat agih sendiri, namun ia langgar undang-undang

Mengikut undang-undang di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah kuasa negeri iaitu Majlis Agama Islam Negeri.

Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang.

Tindakan tersebut boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada tahun 2006 juga telah menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Baitulmal adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak.

Walaubagaimanapun, perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan seperti itu adalah berdosa.

Hal itu kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah (ulil amri) pada perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.

***PROF MADYA DR MOHD SUKKI OTHMAN

Pensyarah Kanan Wacana Aqidah, Fiqh dan I'jaz Al-Quran, Universiti Putra Malaysia/Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang