Sedekah bukan pengganti zakat fitrah

ZAKAT bukan sekadar menyucikan dosa orang berpuasa, tetapi juga menampal kekurangan dalam ibadah puasa yang dikerjakan. - Gambar hiasan/Foto: BERNAMA
ZAKAT bukan sekadar menyucikan dosa orang berpuasa, tetapi juga menampal kekurangan dalam ibadah puasa yang dikerjakan. - Gambar hiasan/Foto: BERNAMA
A
A
A

MESKIPUN banyak bersedekah dalam bulan Ramadan, ia tidak menggugurkan kewajipan seorang Muslim untuk menunaikan zakat fitrah.

Pendakwah, Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah menjelaskan, ia sama sekali tidak boleh dijadikan alasan memandangkan zakat fitrah adalah suatu kefarduan ke atas setiap umat Islam dan terkandung dalam Rukun Islam.

“Kedua-duanya merupakan perkara yang berbeza. Sepatutnya kita perlu utamakan zakat daripada bersedekah kerana zakat itu wajib, sementelah berinfak pula sunat.

USTAZ MOHAMAD HADI
USTAZ MOHAMAD HADI

“Sewajarnya kita lakukan perkara wajib, ditambah pula dengan yang sunat sebagai sampingan,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Beliau kemudian mengemukakan beberapa perbezaan antara zakat dan sedekah.

Antara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus adalah dari konteks penerima yang mana zakat mempunyai lapan kategori asnaf yang layak menerima manfaatnya, manakala sedekah pula boleh diserahkan kepada sesiapa termasuk orang bukan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Andai kata seseorang itu meninggal dunia, zakat yang tertunggak wajib dibayar oleh warisnya menerusi harta yang ditinggalkannya. Bahkan, ia perlu didahulukan berbanding hutang kepada manusia kerana melibatkan hak ALLAH dan fakir miskin.

“Berbeza pula dengan sedekah yang mana ia tidak wajib ditunaikan melainkan jika si mati ada wasiat secara khusus,” terangnya.

Andai mahu dihuraikan satu persatu, terlalu banyak ‘rahsia’ di sebalik kefarduan menunaikan zakat termasuk zakat fitrah.

Tampal kekurangan puasa

Jelas Mohamad Hadi, ia bukan sekadar menyucikan dosa orang berpuasa, tetapi juga menampal kekurangan dalam ibadah puasa yang dikerjakan.

TUNAIKANLAH zakat dalam tempoh waktu ditetapkan. -Foto: 123rf
TUNAIKANLAH zakat dalam tempoh waktu ditetapkan. -Foto: 123rf

“Dalam kita berpuasa, mungkin ada perkara-perkara sunnah yang ditinggalkan dan kita pula melakukan benda makruh, ditambah pula dengan dosa lain. Maka, zakat tadi berfungsi sebagai penampal pada mana-mana kekurangan puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadan.

“Dari satu sudut, kita juga dapat memberi makan kepada golongan miskin, selain memberi kegembiraan kepada orang yang lapar pada Hari Raya Aidilfitri.

“Seperkara lagi, menunaikan zakat sebenarnya tanda manifestasi kita mensyukuri nikmat ALLAH selepas sempurna menjalani bulan Ramadan. Hidup dalam Ramadan ini pun sudah menjadi nikmat yang besar, apatah lagi dilanjutkan usia hingga menyambut Syawal nanti. Ia wajib disyukuri,” ungkapnya.

Hukum tangguh bayar zakat harta hingga Ramadan

Suatu perkara yang menjadi persoalan, bolehkah seseorang menangguhkan pembayaran zakat harta sehingga masuk bulan Ramadan gara-gara mahu mengejar lebih banyak pahala?

Ketika dilontarkan persoalan itu, Mohamad Hadi menjelaskan, menurut para ulama, menunda-nunda pembayaran zakat harta kerana alasan Ramadan tidak dibolehkan melainkan jika waktunya pendek.

Umpamanya, tempoh haul (genap setahun mengikut tahun hijriah) masuk ketika pertengahan Syaaban, maka dibolehkan untuk ditunda pembayaran zakat itu hingga ke bulan Ramadan.

“Tidak dinafikan, pembayaran zakat pada bulan Ramadan lebih afdal dari sudut pahala berbanding bulan-bulan lain, tetapi dari sudut lain, bila sudah sampai waktunya (cukup nisab dan haul), maka itu lebih afdal (untuk ditunaikan).

“Ia melainkan ada sebab-sebab tertentu seperti terlantar sakit atau tidak menemukan orang miskin.

MENUNAIKAN zakat sebenarnya adalah tanda manifestasi kita mensyukuri nikmat ALLAH selepas sempurna menjalani bulan Ramadan. -Foto: Canva
MENUNAIKAN zakat sebenarnya adalah tanda manifestasi kita mensyukuri nikmat ALLAH selepas sempurna menjalani bulan Ramadan. -Foto: Canva

“Sekiranya haul bagi zakat hartanya mungkin jatuh pada bulan Syawal atau Zulkaedah dan mereka ingin mempercepat bayaran dalam bulan Ramadan, (keadaan) itu dibolehkan,” terangnya panjang lebar.

Sebelum menutup bicara, penceramah itu mengingatkan umat Islam agar tidak culas membayar zakat fitrah sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

“Adakalanya memang ada yang menunggu sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri untuk mengejar waktu paling afdal, tetapi jangan sampai terlepas.

“Andai tidak dibayar, kita akan menanggung dosa bukan sahaja hukuman di dunia berupa takzir, tetapi dibimbangi ia akan menjadi satu bentuk azab di akhirat kelak,” pesannya.