Wajib dapat permit kerajaan Arab Saudi sebelum tunai haji

MAJLIS KANAN ULAMA Arab Saudi menegaskan wajib untuk mendapatkan permit haji terlebih dahulu sebelum melaksanakan ibadah tersebut. Foto Canva
MAJLIS KANAN ULAMA Arab Saudi menegaskan wajib untuk mendapatkan permit haji terlebih dahulu sebelum melaksanakan ibadah tersebut. Foto Canva
A
A
A

MAJLIS ULAMA KANAN Arab Saudi menegaskan wajib untuk mendapatkan permit haji terlebih dahulu sebelum melaksanakan Rukun Islam kelima itu, menurut undang-undang syariah negara itu seperti yang dilaporkan Saudi Press Agency.

Permit haji dikeluarkan kerajaan Arab Saudi bertujuan untuk melancarkan proses pelaksanaan ibadah haji di samping mencegah bahaya dan kemudaratan.

Majlis turut menegaskan bahawa menunaikan ibadah haji tanpa keizinan adalah berdosa.

Kenyataan tersebut dikeluarkan pada Sabtu selepas meneliti pembentangan wakil Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Haji dan Umrah serta Pihak Berkuasa Am Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Mereka menekankan cabaran dan risiko yang bakal dihadapi sekiranya berdegil untuk melaksanakan ibadah haji tanpa permit.

Kenyataan turut menyatakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengendalikan musim haji telah membangunkan pelan yang komprehensif berdasarkan bilangan permit yang telah dikeluarkan.

Pelan tersebut merangkumi semua aspek termasuk keselamatan, kesihatan, penginapan, katering dan perkhidmatan lain.

Artikel Berkaitan:

PENETAPAN kuota bagi jemaah haji dibuat kerajaan Arab Saudi untuk melicinkan proses pengurusan jemaah haji dan mengurangkan risiko bahaya kepada jemaah. Foto Pexels
PENETAPAN kuota bagi jemaah haji dibuat kerajaan Arab Saudi untuk melicinkan proses pengurusan jemaah haji dan mengurangkan risiko bahaya kepada jemaah. Foto Pexels

Menurutnya lagi, kualiti perkhidmatan akan menjadi lebih baik sekiranya bilangan jemaah haji yang hadir adalah sama dengan angka permit yang dikeluarkan sekali gus lebih rendah risiko bahaya.

Ia termasuk mencegah keadaan yang tidak diingini seperti tidur di jalan raya yang boleh menghalang pergerakan dan pengangkutan selain boleh menyebabkan kemalangan jiwa akibat kesesakan.

Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengeluarkan peraturan denda sebanyak SAR50,000 (RM63,638) bagi mereka yang nekad melakukan haji tanpa permit.

Kerajaan Arab Saudi juga akan menghukum denda bagi kesalahan membawa jemaah tanpa izin selain hukuman penjara selama enam bulan dam dihantar pulang ke negara masing-masing selepas tamat hukuman.

Pesalah turut dilarang memasuki Arab Saudi selama 10 tahun dan nama-nama mereka akan disiarkan kepada awam melalui media-media tempatan.