Beza antara zakat dan sedekah

ZAKAT dan sedekah merupakan dua perkara yang berbeza. -Foto: 123rf
ZAKAT dan sedekah merupakan dua perkara yang berbeza. -Foto: 123rf
A
A
A

ZAKAT dan sedekah merupakan dua perkara berbeza. Secara kasarnya, walaupun kelihatan sama memandangkan masing-masing melibatkan pemberian, tetapi ia tidak serupa.

Paling ketara, kewajipan zakat termasuk dalam Rukun Islam keempat, tetapi tidak bagi amalan berinfak.

Mengulas lanjut tentang kelainan tersebut, Sinar Islam Plus merujuk kepada pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah.

USTAZ MOHAMAD HADI
USTAZ MOHAMAD HADI

Jelas beliau, zakat wajib ditunaikan, manakala sedekah pula adalah sunat.

"Dari segi definisi, zakat merupakan ibadah wajib yang difardukan ke atas harta yang memenuhi syarat tertentu dan diagihkan kepada asnaf. "Sedekah pula adalah satu bentuk pemberian diberikan secara sukarela," katanya.

Tidak seperti amalan sedekah yang tidak terikat, jelas penceramah tersebut, zakat mempunyai kategori tertentu seperti emas, perak, haiwan ternakan, hasil pertanian, perniagaan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Malah, Rukun Islam keempat itu mempunyai syarat-syarat berzakat iaitu cukup haul dan nisab, tetapi perkara itu tiada dalam baba bersedekah.

"Perbezaan ketara adalah dari segi penerima apabila zakat mempunyai lapan kategori asnaf yang layak, manakala sedekah tidak dihadkan kepada sesiapa termasuk orang bukan Islam," katanya.

Seperkara lagi, andai kata seseorang meninggal dunia dan mempunyai zakat tertunggak, jelas Mohamad Hadi, ia wajib dibayar oleh waris dengan menggunakan harta si mati.

ZAKAT merupakan ibadah wajib ditunaikan, manakala bersedekah pula adalah sunat hukumnya. -Foto: 123rf
ZAKAT merupakan ibadah wajib ditunaikan, manakala bersedekah pula adalah sunat hukumnya. -Foto: 123rf

"Sedekah pula tidak wajib ditunaikan kecuali jika si mati meninggalkan wasiat supaya berbuat demikian," katanya.

Apabila seseorang bersedekah, jelas beliau, mereka boleh memberikan secara terus kepada penerima dikehendaki.

"Berbeza pula dengan zakat kerana ia perlu ditunaikan kepada pemerintah atau ulil amri dalam sesebuah kawasan.

"Satu lagi perbezaan yang dapat dilihat adalah zakat mempunyai kategori tertentu seperti zakat fitrah dan harta. Sementara itu, sedekah pula merupakan kalimah umum yang merangkumi semua perbuatan baik dilakukan," terangnya panjang lebar.