Dibuang keluarga sebab kerap keluar masuk penjara

Det (kanan) ketika ditemu bual oleh pengamal media.
Det (kanan) ketika ditemu bual oleh pengamal media.
A
A
A

POKOK SENA - Seorang banduan lelaki berusia 42 tahun mengakui dibuang keluarga selepas dirinya kerap keluar masuk penjara akibat kesalahan mengedar dadah sejak 2005.

Dia yang dikenali sebagai Det berkata, perkara itu juga menyebabkan dia bercerai dengan isterinya pada tahun 2012 ketika berada dalam penjara.

Ujar bapa kepada dua cahaya mata itu, kekesalan pernah timbul dalam dirinya dan mahu pulang ke pangkal jalan namun pulangan lumayan sebagai pengedar dadah menyebabkan dia mengulangi kesalahan sama.

"Saya dipenjarakan tiga kali pada tahun 2005, 2017 dan pada tahun 2022 sehingga dibebaskan hari ini atas kesalahan mengedar dadah.

"Mulanya saya ambil dadah jenis morfin hanya untuk bekerja kerana menjadikan saya kuat bila bekerja tetapi lama kelamaan saya jadi ketagih sehingga menjadi pengedar dadah," katanya ketika ditemui pada Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Penjara Pokok Sena di sini pada Khamis.

Dalam program itu seramai 52 banduan diserahkan kepada keluarga manakala baki 50 orang lagi diserahkan pada tujuh majikan yang hadir untuk bekerja.

Ibu (kanan) mengucup pipi Anis ketika Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Penjara Pokok Sena pada Khamis.
Ibu (kanan) mengucup pipi Anis ketika Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Penjara Pokok Sena pada Khamis.

Majlis Penyerahan Lesen Pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) itu dilakukan Pengarah Penjara Negeri Kedah, Zainah Pardi dan turut disertai Pengarah Penjara Pokok Sena, Nor Haizan Md Isa.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut mengenai keluarganya, Det yang bekerja sebagai pendawai elektrik sebelum ini berkata, jauh di sudut hatinya dia sangat ingin bertemu keluarganya di Kuala Ketil dan dua anaknya yang kini menetap di Shah Alam.

"Tetapi saya malu, mungkin saya kena perbetulkan diri saya dahulu sebab saya sedar selama ini pun keluarga memang tidak suka saya.

"Kalau saya balik rumah pun, saya dilayan macam orang asing, mereka pun cakap terus terang suruh saya keluar duduk tempat lain. Saya faham mereka kecewa dengan apa yang saya buat," katanya sebak.

Menurutnya, pelepasan yang diterima kali ini akan digunakan sebaik mungkin termasuk bekerja dan mengubah dirinya.

"Saya pun dah tua, semasa dalam penjara saya selalu berdoa buat solat hajat supaya saya dapat kerja dan tidak balik kepada kegiatan lama," katanya yang akan tinggal di rumah perantara dan menyambut Aidilfitri di situ pada tahun ini.

Sementara itu, bagi seorang wanita yang dikenali sebagai Anis, 26, perayaan Aidilfitri tahun ini tidak lagi sama seperti sebelum ini apabila bapa tercinta telah meninggal dunia pada Disember lalu ketika dia masih dalam penjara.

"Masa ayah meninggal, saya tak dapat tengok ayah buat kali terakhir pun sebab ada dalam penjara.

"Kejadian ini buat saya betul-betul insaf dan nekad untuk menjaga ibu saya selepas keluar nanti. Saya tak mahu perkara sama berulang lagi," katanya.

Katanya, dia dipenjara atas kesalahan mengedar dadah tahun lalu selepas terjebak dengan aktiviti itu kerana terikut jejak langkah arwah suaminya yang juga pengedar dadah.

"Saya terjebak dengan dadah jenis heroin sejak berusia 13 tahun ketika mula kenal dengan suami.

"Kami berkahwin semasa saya berusia 17 tahun namun suami meninggal dunia pada tahun 2018 kerana sakit penat," katanya.

Jelasnya, dia sudah enam kali ditahan oleh polis sehingga menyebabkan dia perlu menjalani penjara selama 12 bulan.

"Tetapi saya hanya tinggal di penjara selama lapan bulan sebelum dimaklumkan pada 2 April akan dibebaskan hari ini," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28