Raja Permaisuri Agong berangkat ke World #QuranHour

Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke World #QuranHour 2024 yang berlangsung di Masjid Negara pada Khamis. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SYUKOR
Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke World #QuranHour 2024 yang berlangsung di Masjid Negara pada Khamis. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SYUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke World #QuranHour 2024 yang berlangsung di Masjid Negara di sini pada Khamis.

Ketibaan Seri Paduka Baginda pada 11.45 pagi diiringi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Penasihat Kumpulan Media Karangkraf yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamudin Yaacub.

Penganjuran kali kesembilan World #QuranHour dengan tema 'Ummah #GrandReset: Kesatuan dan Transformasi Sosial' itu dihadiri kira-kira 4,000 jemaah, mengangkat surah Al-Jumu'ah sebagai surah pilihan.

Bermula tepat jam 12 tengah hari, majlis dibuka dengan bacaan surah Al-Fatihah dan ayat satu hingga lima Surah Al-Baqarah, sebelum diteruskan dengan penerangan sinopsis, bacaan dan tadabbur surah Al-Jumu'ah.

Ketibaan Seri Paduka Baginda di Masjid Negara. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SYUKOR
Ketibaan Seri Paduka Baginda di Masjid Negara. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SYUKOR

Jemaah yang hadir turut mendengar Pesan Ulama oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim dan bacaan ikrar Quran diketuai penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Munqiz Mohd Subki.

Sebanyak 5,139 hotspot didaftar oleh pelbagai organisasi bagi penganjuran serentak program itu di seluruh negara.

Setakat 3 April, lapan lokasi di enam negara turut berdaftar sebagai hotspot World #QuranHour iaitu Singapura, Brunei, Indonesia, Bangladesh, Thailand dan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Program selama sejam itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Oasis yang menjadi penyiar rasmi bagi World #QuranHour, selain lima stesen TV lain iaitu RTM, TV9, TV AlHijrah, Bernama TV dan Astro Awani.

World #QuranHour dianjurkan WUIF dengan Masjid Negara sebagai penaja lokasi, dan antara rakan strategik program ialah USIM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Islamic Tourism Malaysia, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Rumah Ngaji dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Antara yang turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!