Masakan jiran pengubat rindu air tangan isteri di Aidilfitri

Keluarga Mohd Rafie mendapat kunjungan daripada Payatim Kelantan serta wakil SMK Mulong, di rumahnya di Kampung Kubang Bongor, Kadok pada Khamis.
Keluarga Mohd Rafie mendapat kunjungan daripada Payatim Kelantan serta wakil SMK Mulong, di rumahnya di Kampung Kubang Bongor, Kadok pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Masakan yang disedekahkan oleh jiran tetangga setiap kali pagi raya, menjadi pengubat rindu kepada 'air tangan' isteri yang telah meninggal dunia empat tahun lalu akibat Covid-19.

Mohd Rafie Yaacob, 49, berkata, dia dan dua anak kembarnya, Aina Zulaikha Mohd Rafie dan Akwa Zulfaqar berusia 16 tahun hanya mampu menunggu hidangan daripada jiran tetangga untuk meraikan hari lebaran.

"Anak-anak tidak pandai memasak, saya pula ada penyakit strok mata sehingga menyebabkan penglihatan kabur, jadi sukar untuk memasak atau buat kerja.

"Hendak beli, kami tidak mampu kerana saya sudah tiga tahun tidak bekerja. Selain strok mata, saya juga diserang penyakit saraf sehingga sukar untuk berdiri lama serta bergerak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bongor, Kadok di sini pada Khamis.

Mhd Nor (kiri) menunjukkan katil baharu yang disumbangkan oleh Payatim kepada Akwa Zulfaqar.
Mhd Nor (kiri) menunjukkan katil baharu yang disumbangkan oleh Payatim kepada Akwa Zulfaqar.

Menurut dia, mujurlah setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri anak-anaknya tidak pernah ketinggalan mendapat bantuan baju raya.

Mohd Rafie memberitahu, dengan adanya baju baharu, juadah raya sumbangan jiran tetangga dapat mengubat kerinduan pada ibu mereka yang sering memasakkan nasi lemak atau kerabu setiap kali Aidilfitri.

Ujarnya, sebelum ini dia bekerja sebagai tukang urut tradisional manakala arwah isteri berniaga kecil-kecilan di hadapan rumah.

Artikel Berkaitan:

Aina Zulaikha dan abangnya hanya memasak sekadar yang mampu.
Aina Zulaikha dan abangnya hanya memasak sekadar yang mampu.

Katanya, sejak diserang penyakit itu anaknya sulung Akwa Zulfaqar terpaksa berhenti sekolah semasa di Tingkatan Dua bagi menguruskan kehidupannya.

Dia memberitahu, bagaimanapun, Aina Zulaikha meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong dengan bantuan biasiswa RM840 setahun.

"Saya tidak menerima sebarang bantuan khas kerana tidak tahu mohon di mana dan sukar untuk bergerak menguruskannya.

"Kehidupan kami tiga beranak bergantung sepenuhnya kepada bantuan jiran serta sanak saudara," katanya.

Menurut dia, walaupun terpaksa hidup dalam serba kekurangan namun mereka reda.

Ujarnya, mereka juga berdepan dengan tunggakan bayaran rumah mesra rakyat berjumlah lebih RM3,000.

Payatim menggantikan barangan elektrik baharu di kediaman Mohd Rafie.
Payatim menggantikan barangan elektrik baharu di kediaman Mohd Rafie.

Sebelum itu keluarga Mohd Rafie mendapat kunjungan daripada Pertubuhan Anak Yatim Miskin (Payatim) Kelantan yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Mhd Nor Jusoh serta wakil dari SMK Mulong, Mohd Ghazali Ab Rahman.

Mhd Nor berkata, melihat kepada kedaifan keluarga tersebut Payatim telah menyumbangkan peralatan dapur, elektrik dan bekalan makanan secara berterusan.

"Kami turut membelikan almari baju, katil dan perabot lain. Ini kerana kami dimaklumkan mereka sudah lama tidak tidur di atas katil.

"Saya juga sedang usahakan bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kepada keluarga ini," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang kepada akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03120020141052 Mohd Rafie Yaacob.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28