Anak yatim, asnaf ceria dapat baju raya

Sebahagian penerima ceria dengan pakaian Raya baharu masing-masing
Sebahagian penerima ceria dengan pakaian Raya baharu masing-masing
A
A
A

TEMERLOH - Seramai 50 remaja perempuan terdiri anak yatim dan asnaf di daerah ini mengukir wajah ceria selepas masing-masing dapat bergaya dengan pakaian raya baharu menerusi Program Inspirasi Aidilfitri, Setulus Kasih anjuran Puteri UMNO Bahagian Temerloh di sini pada Rabu.

Bagi seorang anak yatim, Siti Aishah Baharom, 20, peluang tersebut memberikan kelegaan buat dirinya untuk menghadapi raya tahun ini.

"Semalam (Selasa) saya baharu selesai menduduki kertas untuk peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan hari ini dapat membeli dan memilih pakaian raya.

"Syukur dan terima kasih kepada UMNO dan kerajaan negeri kerana saya antara yang terpilih kali ini," katanya yang bergelar anak yatim sejak berusia enam tahun.

Seorang lagi remaja, Fazlinda Ahmad Fadil,18 yang menghargai bantuan itu kerana dapat mengurangkan beban keluarga.

Dia yang bekerja sebagai pramusaji mengakui kali pertama mendapat bantuan terbabit.

"Segalanya sudah lengkap, dapat baju baharu siap dengan duit raya sekali," ujar anak kedua daripada enam beradik itu.

Kesemua mereka ditemui ketika membeli-belah di sebuah premis pakaian di sini.

Artikel Berkaitan:

Nurul (tengah) dan Ridzuan (kanan) mengagihkan duit raya kepada penerima.
Nurul (tengah) dan Ridzuan (kanan) mengagihkan duit raya kepada penerima.

Sementara itu, Ketua Puteri bahagian tersebut, Nurul Aslina Saman berkata, program itu dengan kerjasama Majlis Tindakan Negeri Pahang (MTNP).

"Program ini dianjurkan untuk menyantuni golongan asnaf dan anak-anak yatim kerana kita tahu dalam keadaaan ekonomi semasa agak tinggi untuk membantu mereka.

"Kita juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Bahagian, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli bagi menjayakan program ini," jelasnya lagi.