Rai anak yatim tujuh sekolah berbuka puasa, hulur duit raya

Shaharim (lima dari kiri) dan guru bergambar bersama-sama anak yatim dari tujuh sekolah pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Sunflower World Hotel pada Khamis.
Shaharim (lima dari kiri) dan guru bergambar bersama-sama anak yatim dari tujuh sekolah pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Sunflower World Hotel pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 70 anak yatim dari tujuh sekolah diraikan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Sunflower World Hotel, di sini pada Khamis.

Sebanyak 25 penyumbang termasuk Masjid Yayasan Mohamed Noah, Genting Highlands memberikan sumbangan bagi menjayakan program berkenaan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Belimbing, Nizamuddin Zakaria berkata, pihaknya berterima kasih kepada penyumbang bagi meraikan 10 anak yatim di sekolahnya.

"Program seumpama itu amat baik terutama dalam bulan Ramadan dan sudah tentu kami menyokong usaha seperti ini lebih-lebih lagi melihat anak yatim gembira.

"Rata-rata anak yatim memberitahu mereka berterima kasih kepada penyumbang yang meraikan mereka pada hari ini," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Tujuh sekolah itu ialah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung, SK Tanjung Keramat, SK Bandar Baru Kuala Selangor, SK Kuala Selangor, SK Bukit Belimbing, SK Sungai Terap dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Integrasi, Bandar Baru Kuala Selangor.

Pengurus Besar Sunflower World Hotel, Shaharim Mokhtar berkata, program kolaboratif antara sekolah dan hotel itu diadakan bertujuan menyantuni dan berkongsi rezeki bersama kelompok komuniti tidak bernasib baik.

"Kita memilih tujuh sekolah di sekitar Kuala Selangor yang mana setiap sekolah membawa 10 anak yatim," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Artikel Berkaitan:

Shaharim memberitahu, program itu juga diharap menyuburkan budaya bersyukur dan memberi bagi membantu anak yatim sebagai persediaan menjelang lebaran tidak lama lagi.

Jelas beliau, anak yatim juga dibawa untuk melihat sendiri ke 'Butterfly Wonderland' dan 'Konchu Insectarium' yang menjadi salah satu tarikan baharu di hotel berkenaan.

"Kita ingin beri peluang kepada anak yatim untuk melawat dan bergambar di sini yang pastinya memberikan pengalaman baru kepada mereka," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28