Selangor kongsi data Selangkah, kemaskini maklumat PADU

Menteri Besar (tiga kanan) ditemui pada Majlis Menandatangani MoU Data Selangkah dan PADU di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada Rabu.
Menteri Besar (tiga kanan) ditemui pada Majlis Menandatangani MoU Data Selangkah dan PADU di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan Selangor melalui kerjasama Jabatan Perangkaan Negeri Selangor bagi memastikan setiap penduduk berumur 18 tahun dan ke atas mendaftar dan mengemaskini maklumat dalam sistem Pengkalan Data Utama (PADU).

Ini termasuk mengadakan promosi berterusan, pembukaan kaunter fizikal sebanyak 3,221 di seluruh Selangor mulai 2 Januari hingga 31 Mac 2024 dan bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi dalam sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif-inisiatif dilakukan itu menunjukkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memastikan tiada penduduk Selangor yang tercicir terutamanya apabila Kerajaan Pusat memperkenalkan subsidi bersasar.

Sehubungan itu, ujar Amirudin, komitmen kerajaan negeri diteruskan lagi dengan kesediaan negeri untuk berkongsi dan menzahirkan data tertentu kepada Kerajaan Pusat menerusi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Sebagai langkah permulaan, kerajaan negeri bersedia untuk berkongsi data yang dikumpulkan dan diperoleh daripada aplikasi Selangkah dimiliki oleh Selangkah Ventures Sdn Bhd iaitu anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

"Data ini merangkumi maklumat penerima skim bantuan dari kerajaan negeri iaitu menerusi program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Mental Sihat, Saringan Kesihatan Percuma (Selangor Saring) dan program Mama Kerja," katanya.

Menteri Besar berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Data Selangkah dan PADU di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri Selangor sedar, data yang tepat dan betul diperlukan bagi pembangunan dasar menjamin kemampanan, kelestarian dan kemakmuran berterusan negara.

"Sebanyak sehingga 3,712,616 maklumat atau data daripada 66,216 penerima skim subsidi dalam aplikasi Selangkah ini yang boleh dikongsikan dengan PADU tertakluk kepada terma dan syarat penggunaan.

"Kerajaan negeri percaya, selepas ini akan lebih banyak data penerima bantuan di negeri Selangor boleh dikongsikan dengan PADU dan secara tidak langsung membantu kerajaan Pusat dalam pembentukan atau pelaksanaan dasar negara," katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar berkata, perkongsian data melalui SelGDX dibangunkan kerajaan negeri boleh dijadikan platform perkongsian data merentas agensi bagi menjayakan kerjasama pada masa hadapan.

"Kerajaan negeri berharap perkongsian data dilakukan ini bukan bersifat sehala dan kerjasama ini dapat diteruskan demi manfaat rakyat Malaysia secara amnya dan penduduk Selangor secara khususnya," ujar Menteri Besar lagi.

Sehingga 31 Mac, seramai 1.89 juta penduduk Selangor berumur 18 tahun dan ke atas telah berjaya mengemaskinikan maklumat dalam sistem PADU selepas ia berakhir pada 31 Mac lalu dan jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 44.5 peratus dari jumlah disasarkan iaitu seramai 4.24 juta orang.