FAM jawab tohmahan surat layang

Hamidin. Foto FAM
Hamidin. Foto FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil menjawab beberapa tohmahan dalam surat layang yang menghentam pengurusan badan induk bola sepak negara itu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau telah meneliti kesemua kandungan surat layang tersebut dan ia bagaikan sebagai serangan peribadi kepada kepimpinan FAM.

Menurut Hamidin, FAM juga tidak takut untuk disiasat dan akan memberikan sepenuh kerjasama mengenai dakwaan dalam surat layang itu.

"Mengenai Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) yang diperkatakan dalam surat itu, kita telah melalui semua proses dan pada bulan ini FIFA juga akan melihat sebelum menganugerahkan projek tersebut. Kesudahannya FIFA akan buat keputusan.

"Selain itu, berhubung isu hampir 12 orang staf FAM telah meletak jawatan dalam tempoh tiga bulan terakhir, ia perkara normal dalam sebuah organisasi besar apabila terdapat staf yang telah tamat kontraknya dan tidak ditawarkan kontrak baharu.

"Tiada seorang pun yang telah dipecat seperti yang didakwa dalam surat layang tersebut. Isu jawatan penolong pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, tiada istilah beliau ditikam dari belakang atau sebagainya kerana peletakan jawatan itu adalah atas persetujuan dan permintaan beliau sendiri," katanya dalam sidang akhbar selepas Kongres FAM ke-60 di Subang Jaya pada Isnin.

Sebelum ini, tular surat layang yang dihantar melalui e-mel kepada media mengenai salah guna kuasa dalam pengurusan FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek NTC.

Beliau turut menepis dakwaan beberapa individu daripada Ultras Malaya sering mengunjungi FAM dan mempunyai agenda tersendiri.

Artikel Berkaitan:

"Mereka hanya datang untuk membincangkan mengenai persiapan dan bagi idea mengenai Harimau Malaya. Tidak ada sebarang kepentingan. Mereka pun hanya datang dua atau tiga kali sahaja sepanjang saya jadi presiden," katanya.

Menurutnya, semua perkara melibatkan kewangan di FAM adalah mengikut Statut FAM serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan iaitu ia perlu melalui Jawatankuasa Tetap masing-masing, seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM, sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diluluskan.

"Justeru, laporan berhubung perkara ini akan dihantar kepada Jawatankuasa Integriti FAM, sebuah badan bebas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Aseh Che Mat serta dibarisi ahli-ahli jawatankuasanya terdiri daripada antaranya wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dinilai dan diperhalusi," katanya.