Indra Putra mahu teruskan karier bola sepak

Indra Putra berhasrat meneruskan karier dalam arena bola sepak selagi khidmatnya diperlukan.
Indra Putra berhasrat meneruskan karier dalam arena bola sepak selagi khidmatnya diperlukan.
A
A
A

PEMAIN veteran Kelantan United FC (KUFC), Indra Putra Mahayuddin berhasrat meneruskan karier dalam arena bola sepak selagi khidmatnya diperlukan.

Pemain kedua tertua Liga Super kali ini yang berusia 42 tahun selepas Ramesh Lai (Kuching City FC), mengakui minat mendalam terhadap sukan berkenaan dan tidak akan berhenti selagi berkemampuan.

“Perancangan masa hadapan belum diketahui tetapi yang pastinya saya masih lagi ingin bermain.

Aksi Indra Putra di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu. - Foto KUFC
Aksi Indra Putra di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu. - Foto KUFC

“Insya-Allah, kalau ada pasukan yang berminat, saya akan teruskan kerana saya rasa masih lagi mampu,” katanya kepada pemberita selepas kemenangan 6-2 ke atas Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Sabtu.

Indra Putra turut berkongsi dia kini menyusun strategi ke arah profesional dalam bidang kejurulatihan.

“Setakat ini saya mempunyai lesen B dan akan menyambung untuk mendapatkan lesen A kerana minat dengan bola ini cukup mendalam.

“Saya takkan berhenti dan akan sentiasa menurunkan ilmu kepada pemain-pemain muda, pada masa sama ingin terus belajar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Indra Putra bersama KUFC. - Foto KUFC
Indra Putra bersama KUFC. - Foto KUFC

Pemain yang dilahirkan pada 2 September 1981 itu sentiasa mengamalkan gaya hidup aktif dan mengambil suplemen bagi mengekalkan kecergasan bermain pada usia 40-an selain mempamerkan disiplin terbaik sepanjang karier.

“Saya perlu terus berusaha kerana sekarang ini saya dah berumur.

“Setiap kali turun beraksi di padang, saya sentiasa mencabar diri untuk memastikan saya masih boleh bermain,” katanya yang berpengalaman kira-kira 24 tahun.

Indra Putra berasal dari Ipoh, Perak bermain untuk Perak B-21 semasa zaman remaja dan dimasukkan ke pasukan utama Perak pada tahun 1999 bawah kendalian mendiang Karl Heinz Weigang.

Beliau membuat penampilan pertama dalam pusingan kelayakan Piala Malaysia 1999 dan menjaringkan gol pertama pada perlawanan menentang Pulau Pinang semasa saingan Piala Malaysia 1999. Bersama Perak, Indra Putra kerap diletakkan di sayap kiri dan sesekali bermain sebagai penyerang.

Indra beraksi di padang dan sentiasa menjada disiplin sebagai pemain bola sepak. - Foto KUFC
Indra beraksi di padang dan sentiasa menjada disiplin sebagai pemain bola sepak. - Foto KUFC

Pada musim 2002 dan 2003, beliau membantu Perak menjuarai Liga Perdana Satu Malaysia selain bersama pasukan kebangsaan U23 pada 2001 hingga 2004) serta kebangsaan (2002–2015).

Pemain berketinggian 1.75 meter itu pernah bersama pasukan Pahang (2004-2007), Selangor (2008), Kelantan (2009-2010), T-Team (2011-2012), Kelantan (2012-2013), Felda United (2014–2015), Kelantan (2016-2017), Kuala Lumpur City (2018-2021), Perak (2022) dan kini KUFC selain mengulangi hasratnya yang mahu bersara di Kelantan.

“Jika perkara itu berlaku, saya bersyukur dan berharap akan bersara dengan KUFC.

“Paling penting penyokong perlu terus datang kerana sokongan itu akan memberi semangat luar biasa kepada pemain. Tak kira kalah atau menang, datanglah sokong kedua-dua pasukan kerana kedua-duanya membawa nama Kelantan,” kata beliau yang pernah merekod 100 gol pada Liga Super tahun 2019.